FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Suraya Roslan


KEINGINAN untuk bertukar kerjaya dan diberhentikan kerja antara punca utama 58 peratus rakyat Malaysia kini memburu pekerjaan baharu.

Ia berdasarkan satu kajian 'The Covid-19 Labour Pulse Survey' oleh agensi penyelesaian sumber manusia terkemuka dunia, Randstad membabitkan 531 responden tempatan bermula 26 Jun hingga 5 Julai lalu.

Hasil kajian itu juga mendapati, 58 peratus responden mempunyai niat untuk mencari pekerjaan dalam tempoh 12 bulan ke depan.

Kajian bertujuan memahami sentimen tenaga kerja tempatan mengenai pasaran pekerjaan tahun ini serta cabaran dan pengalaman bagi pemburu pekerjaan.

Daripada 58 peratus responden yang berhasrat mencari pekerjaan baharu, 24 peratus mengatakan mereka ingin mengubah kerjaya atau industri, 13 peratus lagi menunjukkan kemahiran dan pengalaman mereka tidak lagi memenuhi keperluan pekerjaan sekarang dan 15 peratus diberhentikan kerja.

Pengarah Urusan Randstad Malaysia dan Singapura, Jaya Dass berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan banyak syarikat melabur dalam membangunkan infrastruktur dan rangkaian digital mereka menyebabkan sejumlah besar pekerjaan secara digital.

"Kakitangan yang bertanggungjawab terhadap pekerjaannya terpaksa berubah secara drastik untuk memenuhi tuntutan kerja baharu dan mencari syarikat lain di mana kemahiran dan pengalaman mereka masih relevan.

"Ada juga yang mungkin menukar industri dan kerjaya serta mencari peluang pekerjaan yang dianggap lebih selamat seperti bidang kesihatan dan teknologi. Kita boleh melihat lebih banyak pergerakan di pasaran pekerjaan selepas ekonomi meningkat dan peluang pekerjaan baharu muncul," katanya dalam satu kenyataan kepada Harian Metro.

Katanya, kajian juga mendapati gaji juga antara punca mereka mahu menukar majikan iaitu 26 peratus responden melaporkan pengurangan gaji atau pembekuan gaji sama ada selama-lamanya atau sementara waktu dan 24 peratus menyatakan rasa tidak puas hati dengan gaji diterima sekarang.

"Perintah berkurung secara global dan kemelesetan perdagangan serta pertukaran antarabangsa turut mempengaruhi kewangan syarikat tahun ini.

"Sejumlah syarikat melaksanakan langkah penjimatan supaya kos operasi dan 'overhead' tetap rendah serta berusaha untuk mengoptimumkan kecekapan operasi dengan tenaga kerja yang lebih sedikit.

"Langkah pengurusan kos ini menyebabkan ketidakpastian dalam tenaga kerja dan pekerja mungkin merasa syarikat tidak cukup stabil daripada kewangan untuk mengatasi wabak ini. Untuk mengelakkan kerugian kepada mereka, beberapa pekerja memilih mengambil risiko dengan mencari majikan baru yang dilihat lebih stabil kewangan secepat mungkin," katanya.

Jaya berkata, berdasarkan keadaan pasaran buruh semasa, 72 peratus daripada semua responden bersedia mengambil kontrak profesional atau pekerjaan berdasarkan projek.

"28 peratus responden tidak cenderung mengambil pekerjaan kontrak manakala 70 peratus lagi berikutan kurang keselamatan dan kestabilan pekerjaan sebagai alasan mengapa mereka lebih suka menunggu tawaran tetap.

"Walaupun pekerjaan secara kontrak tidak begitu popular dalam kalangan orang Asia kerana kurangnya keselamatan dan kestabilan pekerjaan, banyak yang mulai melihatnya sebagai pilihan yang sesuai dalam tempoh sukar ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 1:45 PM