GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan menyusun semula tarikh pelaksanaan fasa kedua Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) yang melibatkan temu ramah secara bersemuka.

Pesuruhjaya Banci 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penyusunan semula pelaksanaan fasa kedua, yang dijadualkan pada 20 Jan hingga 6 Feb depan, dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

"Tarikh baru pelaksanaan Banci Malaysia 2020 fasa kedua di seluruh negara akan dimaklumkan kelak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Uzir berkata dalam menyokong usaha membendung dan memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19, DOSM sedang meneliti semula gerak kerja Banci Malaysia 2020 termasuk membuka semula platform e-Census iaitu banci dalam talian.

"Justeru, orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci boleh mengambil peluang untuk mengisi maklumat banci di atas," katanya.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Enam negeri lagi dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu, dan Kelantan, manakala Perlis dan Sarawak dikenakan PKP Pemulihan (PKPP).

Bagi kawasan selain lokasi terbabit PKP, beliau berkata pelaksanaan aktiviti di lapangan berkaitan Banci Malaysia 2020 dan survei rutin jabatan itu masih diteruskan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

"Ini antaranya melibatkan pengemaskinian penyenaraian tempat kediaman, aktiviti bersama komuniti dan penganjuran klinik e-Census di lokasi-lokasi terpilih.

"Justeru, orang ramai dan syarikat-syarikat dimohon untuk terus memberi kerjasama kepada DOSM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 12:32 PM