LORI yang digunakan untuk membawa lembu yang dirampas. FOTO Ihsan PGA9
LORI yang digunakan untuk membawa lembu yang dirampas. FOTO Ihsan PGA9
Syaherah Mustafa


CUBAAN menyeludup 20 ekor lembu bernilai RM160,000 di Kampung Jejawi, Jeram Perdah di Pasir Mas berjaya ditumpaskan oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9), semalam.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superitenden Nor Azizan Yusof, berkata dalam kejadian 5.15 pagi itu, anggota menahan sebuah lori berwarna biru yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota kemudian memperkenalkan diri sebagai pegawai polis kepada pemandu dan kelindan lori itu, sebelum memeriksa dokumen perjalanan serta pengenalan diri.

"Sebaik pemeriksaan dokumen dilakukan, anggota mendapati nombor pendaftaran kenderaan tidak sama seperti yang didaftarkan pada permit terbabit selain dapat mengesan ia dipotong menggunakan dakwat pen berwarna biru.

"Selain itu, dokumen ini juga tiada sebarang cop rasmi daripada Jabatan Veterinar negeri Kelantan.

"Malah, akuan mulut daripada pemandu lori mengakui lembu ternakan dalam proses dihantar ke kandang berdekatan di Kampung Jejawi, sedangkan di dalam permit ia sepatutnya ke kandang ternakan beralamat di Kampung Limbat, Kota Bharu," katanya.

Nor Azizan berkata, anggota kemudian membawa pemandu dan kelindan serta haiwan yang dirampas ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut, selain turut menyita lori yang membawa muatan terbabit.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.

"Pihak kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan membenarkan ataupun bersekongkol dengan aktviti penyeludupan bagi menjamin keselamatan negara.

"Pihak PGA terus memberi komitmen terbaik bagi memastikan sempadan negara tidak dibolosi dengan sebarang aktiviti penyeludupan dan sentiasa berkhidmat demi kesejahteraan bangsa dan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 8:31 AM