LEMBU seludup dibawa di dalam lori dirampas anggota PGA. FOTO ihsan PGA
LEMBU seludup dibawa di dalam lori dirampas anggota PGA. FOTO ihsan PGA
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 58 lembu bernilai RM348,000 dipercayai diseludup dari Thailand di Kampung Meranti, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian 3.15 petang itu, anggota bertugas sedang membuat rondaan sebelum terserempak dengan lori putih dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota kemudian menahan lori terbabit dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum meminta pemandu dan kelindan mengemukan kad pengenalan diri.

"Hasil pemeriksaan tubuh badan ke atas pemandu berusia 39 tahun dan kelindan berumur 34 tahun itu tidak menemui apa-apa barangan yang salah, namun anggota kemudian ke bahagian belakang lori yang dipenuhi lembu.

"Anggota meminta kedua-dua suspek mengemukan dokumen perjalanan, tetapi hasil pemeriksaan mendapati ada di antara lembu terbabit tidak bertanda sebarang nombor selain dokumen yang diberi meragukan.

"Kedua-dua suspek serta lori terbabit dibawa ke Balai Polis Meranti, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut, manakala kesemua lembu diserahkan kepada Jabatan Veterinar," katanya.

Azhari berkata, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 , selain mendapati ternakan terbabit dipercayai diseludup dari negara jiran dan menyalahgunakan dokumen perjalanan yang dikeluarkan Jabatan Veterinar.

"Selain itu, hasil soal siasat mendapati,kesemua lembu ini dibawa dari kandang di Kampunh Nechang, Tumpat ke Ladang Permai, Lubok Jong, Pasir Mas untuk dikumpulkan terlebih dahulu sebelum dipindahkan ke negeri lain.

"Pemandu dan kelindan mengaku mereka hanya diupah untuk memindahkan lembu-lembu terbabit dan tidak mengetahui maklumat lanjut berkaitan dokumen perjalanan.

"Oleh itu, risikan maklumat terperinci sedang dijalankan berkaitan kes ini bagi mengenalpasti dalang utama dalam penyeludupan terbabit dan segala perkembangan dimaklumkan kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 11:55 AM