LORI yang digunakan untuk membawa ayam tanpa dokumen sah ditahan anggota PGA7. FOTO IHSAN PGA7
LORI yang digunakan untuk membawa ayam tanpa dokumen sah ditahan anggota PGA7. FOTO IHSAN PGA7
Syaherah Mustafa


PASUKAN Gerakan Am (PGA7) merampas 3,070 ayam bernilai RM46,050 di dalam dua van dalam Sekatan Jalan Raya (SJR) Banggol Kong, Jeram Perdah, di Pasir Mas, awal pagi hari ini.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggotanya menahan kedua-dua lori berkenaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan, sebelum pemandu diminta memberi dokumen perjalanan sah, namun mereka gagal berbuat demikian.

"Anggota kemudian memeriksa lori pertama dan menemui 147 bakul plastik yang mana setiap bakul berisi 10 ekor ayam, manakala 160 bakul berisi ternakan terbabit ditemui dalam van kedua.

"Hasil soal siasat mendapati ayam terbabit diambil dari Bukit Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan dihantar ke tempat pengumpulan atau dikenali sebagai lokasi transit di Kampung Sri Tujoh, Tumpat, tanpa dokumen perjalanan yang sah," katanya hari ini.

Sehubungan itu, Azhari berkata, pihaknya menangkap masing-masing dua pemandu lori berusia 37 dan 43 tahun serta kelindan berumur 33 dan 35 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 36(1)(b) dan (c) Ordinan Haiwan 1953.

"Hasil siasatan mendapati kesemua ayam ini untuk pasaran tempatan dan untuk diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram di sepanjang sempadan.

"PGA terus mengetatkan kawalan serta menjalankan operasi bagi mengekang ketirisan aktiviti penyeludupan terutama di sepanjang sungai Golok, selain menjalinkan kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan lain bagi melancarkan kawalan sempadan.

"Maklumat daripada orang awam turut dialu-alukan supaya kita sama-sama dapat mengekang aktiviti sebegini yang nyata menyalahi undang-undang negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 4:51 PM