KAMBING seludup yang berjaya dirampas anggota PGA7 di Sekatan Jalan Raya (SJR) Banggol Kong, Jeram Perdah, di sini, semalam. FOTO ihsan PGA7
KAMBING seludup yang berjaya dirampas anggota PGA7 di Sekatan Jalan Raya (SJR) Banggol Kong, Jeram Perdah, di sini, semalam. FOTO ihsan PGA7
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Dua lelaki ditahan ketika cuba menyeludup enam kambing ke Alor Setar, Kedah dengan menaiki kenderaan pacuan roda di Sekatan Jalan Raya (SJR) Banggol Kong, Jeram Perdah, di sini, semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 23 tahun itu ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) pada 8 malam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggotanya menahan Mitsubishi Triton yang dipandu dalam keadaan mencurigakan, selain bahagian belakang ditutup menggunakan kanvas berwarna biru.

Katanya, anggota mengarahkan mereka mengemukakan dokumen pengenalan diri selain dilakukan pemeriksaan ke atas tubuh badan, namun tidak menemui sebarang barangan yang salah.

"Bagaimanapun pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan menemui haiwan ternakan terbabit yang disorokkan di bawah kain kanvas.

"Anggota meminta kedua-dua suspek mengemukakan dokumen perjalanan atau permit pemindahan kambing berkenaan, bagaimana pun, mereka gagal berbuat demikian dan melakukan kesalahan kerana haiwan perlu diperiksa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sebelum dipindahkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azhari berkata, kesemua suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah bagi siasatan lanjut, manakala kambing dirampas serta diserahkan kepada JPV untuk tindakan seterusnya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.

"Hasil siasatan mendapati kesemua kambing ini diperoleh daripada pembekal di Wakaf Bharu, Tumpat untuk dibawa ke pasaran di Alor Setar, Kedah.

"Selain itu, hasil daging kambing berkenaan dijual pada harga RM25 sekilogram. Pihak yang tidak bertanggungjawab memilih untuk membeli kambing seludup susulan harga yang lebih murah ditawarkan di negara jiran.

"PGA7 mendapati penyeludup menggunakan pelbagai taktik untuk membawa haiwan secara haram, malah ada yang memuatkan kambing atau lembu di dalam kereta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 3:07 PM