Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mempertingkatkan lagi ujian rawak bagi Kluster Sentosa yang merekodkan lapan kes baharu positif Covid-19 hari ini, kata Pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri I Sarawak berkata, memandangkan kes positif bagi kluster berkenaan semakin meningkat, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak diarah untuk memperluaskan ujian secara rawak di kawasan sekitar Kota Sentosa, Kuching.

"Setakat hari ini, seramai 643 orang disaring dan diambil swab (calitan) untuk ujian rT-PCR (Reverse Transcriptase - Polymerase Chain Reaction), yang membabitkan Kluster Sentosa.

"Daripada jumlah yang disaring itu, seramai 16 orang atau sebanyak 2.49 peratus didapati positif, bagi jangkitan Covid-19," katanya pada sidang media Covid-19 di Kuching, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat JPBN hari ini, turut memutuskan pergerakan antara bahagian di Sarawak tidak digalakkan, kecuali pergerakan orang awam bagi kes tertentu memandangkan kes positif di Bahagian Kuching dan Samarahan, semakin meningkat.

"Antara kes yang dibenarkan adalah bagi menjalankan tugas rasmi, pekerja perkhidmatan penting, kematian ahli keluarga terdekat, ahli keluarga sakit tenat, dan keperluan pemeriksaan kesihatan," katanya.

Selain itu, Uggah berkata, mesyuarat berkenaan turut memutuskan semua warga Sarawak yang balik dari luar negara, menggunakan pesawat dan transit di Semenanjung Malaysia, Labuan, Sabah, Brunei atau Singapura, diwajibkan menjalani kuarantin di destinasi terakhir selama 14 hari.

Beliau berkata, JPBN juga berbincang dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan memutuskan untuk menangguhkan kemasukan pelajar Program prauniversiti sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kemudian.

"Selain itu, dimaklumkan juga perluasan penangguhan pembukaan semula sesi persekolahan bagi Daerah Padawan ke SJK (Sekolah Jenis Kebangsaan) Chung Hua, Siburan, membabitkan Tahun Satu hingga Enam, manakala bagi kelas prasekolah, sesi persekolahan diteruskan seperti biasa. Penangguhan itu adalah sehingga 3 Ogos," tambahnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 9:15 PM