Antara siri drama popular yang boleh ditonton menerusi iQIYI
Antara siri drama popular yang boleh ditonton menerusi iQIYI
Noraniza Azmi

PRIMEWORKS Studios dan iQIYI hari ini menandatangani perjanjian perkongsian kandungan yang menyaksikan enam siri drama Melayu terbaik TV3 disiarkan di platform penstriman berkenaan.

Perjanjian ini menekankan musim kedua siri drama hebat, '7 Hari Mencintaiku' yang pertama kalinya dapat disaksikan di iQIYI bermula 24 Julai 2020. 

Untuk kesinambungan dan kepuasan penonton, iQIYI juga akan menayangkan semua episod musim pertama '7 Hari Mencintaiku'.

Image

Perjanjian ini merangkumi drama popular TV3 yang lain seperti 'Leftenan Zana', 'Kampung People', 'Setelah Ku Dimiliki' dan sebuah siri baru iaitu 'Pengantin Satu Malam' yang bakal ditayangkan di TV3 pada Ogos tahun ini.

"Kami sangat mengalu-alukan kerjasama dengan iQIYI kerana ini memberi peluang untuk mendalami perubahan trend terkini di platform penstriman. 

Ia juga membolehkan kami untuk memahami citarasa baru di kalangan pelbagai jenis penonton," kata Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif, Primeworks Studios.

Menurut Dinesh Ratnam, Pengurus Negara untuk iQIYI Malaysia, Singapura dan Brunei, kerjasama itu sejajar dengan objektif dan strategi untuk menyediakan program terbaik, relevan serta berkualiti tinggi untuk penonton iQIYI di negara ini.

"Kami sangat berbangga untuk mengumumkan kerjasama strategik dengan Media Prima menerusi Primeworks Studios," katanya.

Untuk makluman, '7 Hari Mencintaiku 2' mula ditayangkan sejak 2 Julai 2020 di TV3 setiap hari Isnin hingga Jumaat, pada jam 7 malam. Episod 1-16 akan dilancarkan di iQIYI pada 24 Julai 2020. 

Kesemua episod berikutnya tersedia di platform www.iQ.com dan aplikasi  iQIYI secara percuma selepas satu jam siaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 6:34 PM