PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di daerah Kuching. FOTO Arkib NSTP
PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di daerah Kuching. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kuching: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di daerah Kuching, Sibu dan Miri selama 14 hari mulai Rabu ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu diambil berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di tiga daerah terbabit setiap hari.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menilai situasi dengan mengambil kira kes jangkitan tempatan yang direkodkan di Sarawak iaitu sebanyak 209 kes dalam tempoh 14 hari yang lalu.

"Miri turut diisytihar sebagai zon merah hari ini apabila merekodkan 97 kes jangkitan tempatan, manakala Sibu yang menjadi zon merah sejak semalam merekodkan sebanyak 67 kes dan Kuching pula 45 kes.

"Berikutan itu, PKPB dikuatkuasakan di daerah Kuching, Sibu dan Miri mulai 13 Januari hingga 26 Januari 2021," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 Sarawak, di sini, hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi JPBN berkata, dengan pelaksanaan PKPB itu, pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan

tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pergerakan rentas zon dalam negeri Sarawak juga tidak dibenarkan melainkan mendapat kebenaran daripada PDRM.

"Ia membabitkan Zon Kuching iaitu Kuching, Samarahan dan Serian; Zon Sibu iaitu Sibu dan Sarikei serta Zon Miri," katanya.

Sementara itu, Sarawak mencatat angka tertinggi jangkitan harian Covid-19 apabila 153 kes dilaporkan hari ini.

Daripada jumlah itu, Miri mencatat jumlah tertinggi dengan 94 kes, diikuti Sibu (25), Dalat (17), Kuching (13), Sri Aman (2), Selangau (1) dan Beluru (1).

Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 1,428 kes.

Satu kluster baharu diisytiharkan di Sarawak hari ini iaitu Kluster Jelita di Miri menjadikan keseluruhan enam kluster aktif di negeri ini.

Lima lagi kluster yang masih aktif ialah Kluster Pasai di Sibu, Kluster Keranji Tabuan dan Kluster Stutong di Kuching, Kluster Bah Sayap di Miri serta Kluster Mador di Meradong.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 6:42 PM