Mahaizura Abd Malik

PEKERJA asing yang mempunyai permit dan berada di Malaysia dibenarkan kembali bekerja apabila sektor mereka kembali beroperasi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun seperti kelaziman pekerja asing terbabit perlu menjalani ujian saringan Covid-19.

"Terdapat ramai pekerja asing di negara kita yang mempunyai permit kerja dan apabila tempat (kerja) mereka ditutup mereka tidak bekerja.

"Oleh kerana industri mula dibuka, jadi mesyuarat memutuskan apabila sektor tempat mereka bekerja (beroperasi) dan mereka ada dalam negara dan mempunyai permit kerja mereka dibenarkan terus bekerja.

"Bagaimanapun, pekerja warga asing ini perlu menjalani saringan Covid-19 sebelum pulang ke tempat kerja," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 3:49 PM