Boleh gaji warga asing asalkan ada permit.
Boleh gaji warga asing asalkan ada permit.
Mahaizura Abd Malik


MAJIKAN boleh mengupah warga asing bekerja namun syaratnya mereka perlu mempunyai permit kerja sah yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, warga asing tidak dibenarkan menjadi pembantu di bawah Undang Undang Kecil (UUK) Pasar Borong (WPKL) 2002.

"Jika kita hendak benarkan boleh dengan menggunakan kuasa saya sebagai Datuk Bandar untuk memberi pengecualian tetapi mesti kepada warga asing yang ada permit kerja sah dari Jabatan Imigresen (Malaysia).

"Perlu ada permit kerja sah, kalau tidak kita seperti memberi pengiktirafan ke atas mereka yang tiada permit masuk ke negara kita untuk bekerja di Pasar Borong.

"Dengan adanya permit kerja juga adalah suatu bentuk kawalan dan mereka boleh diuruskan dengan cara lebih berkesan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, ketiadaan dokumen sah menyukarkan penguatkuasaan dan tindakan tegas perlu diambil terhadap warga asing.

"Tanpa dokumen seperti permit kerja yang sah kita seolah-olah menggalakkan lebih ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di sini.

"Majikan tempatan boleh saja cari alternatif lain termasuk ambil gelandangan yang ramai untuk bekerja.

"Mungkin faktor bayaran atau upah murah mempengaruhi majikan memilih warga asing sebagai pembantu mereka di pasar berbanding pekerja tempatan," katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan rungutan pemborong Pasar Borong Kuala Lumpur yang kekurangan tenaga kerja meminta kerajaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membenarkan mereka mengupah pekerja asing tanpa dokumen.

Sejak 20 April lalu, Pasar Borong Kuala Lumpur terpaksa ditutup bagi kerja sanitasi manakala kawasan sekitarnya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang mengakibatkan pekerja asing pasar berkenaan terkurung dalam penempatan masing-masing.

Situasi itu sekali gus menyebabkan ramai peniaga tidak dapat membuka perniagaan walaupun pasar berkenaan dibenarkan beroperasi semula, Sabtu lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 8:29 PM