Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Semua pekerja asing di negara ini akan disaring menggunakan kaedah RTK-antigen menerusi program yang akan dilakukan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, untuk permulaan ujian saringan ini akan difokuskan kepada pekerja asing di Kuala Lumpur, Labuan, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah membabitkan seramai 888,342 orang.

"Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menanggung kos sebanyak RM60 bagi setiap ujian saringan.

"KSM dan Perkeso akan menyelaras ujian saringan kepada pekerja asing daripada pelbagai aspek termasuk jumlah pekerja, fasiliti klinik dan makmal, kos ujian saringan,"katanya pada sidang media harian, di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Ismail Sabri berkata, KSM akan menyediakan jadual terperinci bagi proses pelaksanaan program itu yang dijangka akan mengambil masa selama empat hingga enam minggu untuk diselesaikan.

"Bagi fokus kedua, KSM akan menumpukan kepada penguatkuasakan penempatan dan perumahan pekerja warga asing di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) penguatkuasaan ini akan bermula esok.

"Bagi majikan yang gagal mematuhi Akta 446 ini mereka boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 bagi setiap pekerja," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 6:13 PM