Maiamalina Mohamed Amin


SEHINGGA kini, terdapat seramai 1,545,101 pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,766 orang ditahan kerana PLKS tamat tempoh dan gagal diperbaharui berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

"Walaupun begitu kita beri peluang kepada mereka dengan memberikan pas khas selama 30 hari untuk melanjutkan tempoh setahun lagi PLKS yang sah.

"Selain ia atas permintaan daripada majikan yang memerlukan pekerja, " katanya menjawab soalan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) pada sesi Pertanyaan Bagi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini.

Abdullah Sani bertanya, jumlah pekerja asing yang sah dalam negara tetapi masih bekerja, walaupun selepas permit mereka tamat tempoh.

Bagaimanapun, Dr Ismail berkata, pengeluaran lanjutan PLKS pekerja asing itu tetap tertakluk kepada saringan kesihatan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) dan prosedur sedia ada di bawah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Dalam pada itu, katanya, seramai 786 pendatang asing tanpa izin (Pati) daripada 15,531 orang yang ditempatkan di depot tahanan JIM, disahkan positif Covid-19.

"Mereka diberi perawatan dan sudah sembuh. Kita mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi lain yang bertungkus lumus memastikan warga asing ini sihat," katanya.

Kepada soalan tambahan Abdullah Sani sama ada kerajaan akan menggunakan kad identiti menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi memudahkan usaha mengawal selia pekerja asing seperti dilakukan negara lain seperti Singapura dan Qatar, Ismail berkata, kementerian sedia mengkaji keperluan itu.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 12:53 PM