GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


HANYA kerana mengikut hawa nafsu seorang lelaki tergamak memperkosa anak tirinya beberapa kali di kediaman mereka di Rawang, sejak dua tahun lalu.

Lebih keji suspek berusia 29 turut merakam video ketika melakukan perbuatan bersama mangsa yang berusia 15 tahun itu ketika ibu kandung dan dua anak tirinya yang lain sedang tidur.

Mangsa yang trauma dengan kejadian itu bagaimanapun akhirnya memberanikan diri tampil membuat laporan di Balai Polis Rawang Jumaat lalu untuk tindakan selanjutnya.

Menceritakan semula kejadian itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pada penghujung tahun 2018 , ketika mangsa tinggal di rumah ibunya bersama saspek di Rawang, lelaki terbabit telah bertindak merogolnya.

Menurutnya, suspek juga mengugut mahu menyebarkan video yang dirakam ketika mangsa dirogol.

"Mangsa takut akan ugutan itu dan tidak menceritakan kejadian terbabit kepada sesiapa.

"Kejadian berlaku semasa ibunya tiada di rumah dan pada waktu malam selepas ibunya dan adik-beradik yang lain tidur di mana kejadian terakhir berlaku pada 30 Mei 2019," katanya kepada Harian Metro.

Arifai berkata, hasil siasatan mendapati mangsa adalah anak pertama daripada tiga adik-beradik.

"Ibu dan bapa kandung mangsa bercerai sejak 2015 sebelum ibunya berkahwin dengan bapa tiri (suspek) pada November 2018.

"Pemeriksaan awal pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur mendapati terdapat kesan mangsa dirogol dan dia kini berada di bawah jagaan bapa kandungnya," katanya.

Beliau berkata, suspek sudah dikenal pasti dan berkerja sebagai penjual kereta terpakai di Jalan Ipoh.

"Bagaimanapun suspek dan ibu kandung mangsa menghilangkan diri sejak Jun 2019 dan polis kini sedang memburunya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 11:54 AM