GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hasbi Sidek


KANAK-KANAK perempuan berusia 10 tahun melalui mimpi ngeri sejak 2017 apabila dia terpaksa melayan nafsu serakah bapanya sendiri, di kediaman keluarganya di Taman Changkat Permata, dekat Ampang.

Perlakuan sumbang lelaki berusia 35 tahun itu hanya terbongkar selepas mangsa menceritakan kejadian malang berkenaan kepada neneknya, sebelum wanita berusia 60 tahun itu membuat laporan polis.

Difahamkan, lelaki berkenaan beberapa kali merogol mangsa selain mencabul kehormatan mangsa sejak kanak-kanak itu tinggal bersama bapanya sejak 2017.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Superintenden Mohd Zaid Hassan berkata, susulan laporan yang dibuat seorang wanita pada 25 Disember lalu, pihaknya menahan seorang lelaki pada hari sama di sekitar Ampang.

“Pada Selasa lalu, seorang wanita berusia 60 tahun iaitu nenek kepada kanak-kanak berusia 10 tahun membuat laporan mendakwa cucu perempuannya dirogol bapa kandung.

“Daripada maklumat yang kami terima, mangsa sejak kecil dijaga neneknya sebelum diserahkan kepada bapa kandungnya pada 2017 dan sepanjang dijaga lelaki berkenaan, mangsa sering dirogol pada waktu malam sehingga awal Disember lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kerap menolak tindak-tanduk bapa kandungnya, tetapi dipaksa melakukan perbuatan berkenaan selain mangsa juga tidak memberitahu kejadian berkenaan kepada sesiapa kerana takut dimarahi suspek.

“Kami difahamkan, lelaki berkenaan sudah bercerai dengan ibu kandung mangsa dan dia juga mempunyai seorang adik perempuan berusia tujuh tahun yang tinggal bersama ibunya di Rawang.

“Susulan daripada laporan yang dibuat nenek mangsa, suspek yang juga bapa kepada kanak-kanak itu ditahan pada 25 Disember lalu dan direman sehingga 31 Disember untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 1:46 PM