GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


AKIBAT kalah berjudi dalam talian, seorang lelaki tergamak menjadikan isterinya tempat melepaskan kemarahan apabila memukul, membaling kipas meja dan kerusi besi sehingga mangsa cedera di kediaman mereka di Bandar Country Homes, Rawang, dekat Gombak.

Kejadian itu berlaku pada 30 Mei lalu, namun mangsa yang berusia 28 tahun itu hanya tampil membuat laporan polis pada Isnin lalu sebelum suaminya ditahan polis untuk tindakan selanjutnya.

Menceritakan kejadian itu, sumber berkata, dalam kejadian 10 malam itu, wanita terbabit berada di rumah sebelum suaminya mengamuk dan mencari gaduh dengannya.

"Malah suspek yang hilang kawalan memukul dan membaling kipas meja serta kerusi besi ke arah isterinya.

"Akibat dipukul suspek mangsa mengalami luka di kepala, badan dan lebam di badan," katanya.

Menurut sumber, bimbang dengan keselamatan diri akhirnya mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Rawang untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian apabila suspek kalah dalam perjudian dan terus memaki hamun serta memukul isterinya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Beliau berkata, suspek sudah ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan suspek kini disiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 10:12 PM