ANTARA individu yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan judi dalam talian serta pelaburan menerusi serbuan Operasi Perjudian ‘Calling Centre’ di sebuah banglo berhampiran sebuah kedutaan asing di Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.

Nurul Hidayah Bahaudin

POLIS menahan 42 individu termasuk dua wanita yang disyaki terbabit dalam kegiatan judi dalam talian serta pelaburan menerusi serbuan Operasi Perjudian 'Calling Centre' di sebuah banglo berhampiran sebuah kedutaan asing di Off Jalan Tun Razak, di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur jam 2.30 petang tadi, pihak polis menahan 37 individu warga China dan lima warga tempatan berusia 18 hingga 34 tahun.

Hasil serbuan dilakukan, pihak polis merampas 42 komputer riba dan 95 telefon pintar pelbagai jenama yang dipercayai digunakan untuk kegiatan terbabit.

Difahamkan sindiket berkenaan yang aktif sejak satu bulan lalu meraih keuntungan RM150,000 setiap hari dan menyewa banglo terbabit pada harga RM50,000 sebulan.

Semua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4 (1) (g) akta sama, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 9:12 PM