ANTARA suspek warga China yang terbabit kegiatan judi dalam talian yang ditahan dalam serbuan di sebuah banglo di Taman Hill View, Ampang Jaya, semalam.
ANTARA suspek warga China yang terbabit kegiatan judi dalam talian yang ditahan dalam serbuan di sebuah banglo di Taman Hill View, Ampang Jaya, semalam.
Nurul Hidayah Bahaudin


HELAH sindiket judi dalam talian menjalankan aktiviti di banglo mewah terbongkar selepas sepasukan polis menyerbu kediaman di Taman Hill View, Ampang Jaya, Selangor, semalam.

Dalam serbuan dilakukan jam 9.30 malam diketuai Asisten Superintendan Suhairon Abdullah, polis menahan 19 warga China yang terbabit dengan kegiatan berkenaan.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Nazdri Hussain berkata, siasatan awal mendapati sindiket ini sudah beroperasi sejak dua bulan lalu dengan menggunakan aplikasi WeChat bagi proses transaksi bayaran dan komunikasi.

“Dalam serbuan itu, kami menahan 19 warga China berusia 23 hingga 50 tahun. Pemeriksaan lanjut mendapati tingkat atas rumah banglo dua tingkat itu dijadikan asrama mereka.

“Kami turut merampas 36 komputer, 39 telefon bimbit dan beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan judi dalam talian itu,” katanya.

Menurutnya, siasatan juga mendapati sindiket itu mampu memperoleh meraih wang pertaruhan RM250,000 hingga RM300,000 setiap hari.

“Semua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 6:29 PM