PERTARUHAN laga ayam yang dijalankan di ladang kelapa sawit Sri Cheding. FOTO ihsan polis
PERTARUHAN laga ayam yang dijalankan di ladang kelapa sawit Sri Cheding. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Banting: Polis menahan 19 individu kerana menyertai pertaruhan laga ayam dan perjudian Tai Sai di ladang kelapa sawit Sri Cheding, di sini, hari ini.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Selangor, Deputi Superintendan Zuhairee Mohamad Rashid berkata, sepasukan pegawai dan anggotanya membuat serbuan di lokasi terbabit jam 1.15 tengah hari.

"Dalam serbuan itu, kami menahan 19 individu membabitkan seorang lelaki tempatan yang juga penganjur serta 18 pemain termasuk sembilan lelaki Indonesia.

"Kami turut merampas satu tikar pertaruhan judi Tai Sai, satu set mangkuk dadu, satu bekas mengandungi empat pisau taji, tiga dadu, 22 ayam hidup, dua bangkai ayam, satu alat penimbang dan wang tunai berjumlah RM17,735," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zuhairee berkata, siasatan lanjut mendapati tempat perjudian Tai Sai dan laga ayam itu sudah beroperasi kira-kira dua hingga tiga bulan lalu.

"Kumpulan ini menjalankan kegiatan pertaruhan laga ayam dengan nilai taruhan antara RM1,000 hingga RM6,000, manakala bagi judi Tai Sai pula, kadar pertaruhan bermula serendah RM5 hingga RM100.

"Lokasi itu dipercayai beroperasi bermula jam 11 pagi hingga 5 petang pada setiap hujung minggu serta cuti umum dengan pemainnya yang datang dari sekitar Jenjarom, Klang, Shah Alam dan Tanjong Malim, Perak," katanya.

Katanya, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 44 (1)(b) Akta Binatang 1953, Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.7) (No. 2) 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 7:03 PM