ANGGOTA polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7 IPK Kuala Lumpur melakukan serbuan sebuah kawasan belukar yang dijadikan markas judi laga ayam di Segambut Dalam. FOTO Aizuddin Saad
ANGGOTA polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7 IPK Kuala Lumpur melakukan serbuan sebuah kawasan belukar yang dijadikan markas judi laga ayam di Segambut Dalam. FOTO Aizuddin Saad
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kehadiran pihak polis menyerbu kawasan belukar yang menjadi 'markas' judi laga ayam di Segambut Dalam, di sini, hari ini, menyebabkan sekumpulan kaki judi bertempiaran lari untuk meloloskan diri.

Namun, tindakan pantas pihak polis yang sudah mengepung kawasan berkenaan berjaya menahan kaki judi terbabit.

Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur Deputi Superintendan Ana Mohamed berkata, pihaknya yang disertai 56 pegawai serta anggota membuat serbuan di lokasi itu jam 3.45 petang tadi selepas risikan dilakukan sejak empat hari lalu.

"Kami menahan 54 lelaki membabitkan 46 warga Indonesia serta lapan warga tempatan berusia antara 19 hingga 60 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan berkenaan.

"Ketika serbuan dilakukan, ada antara mereka yang cuba melarikan diri dengan terjun dari tebing tinggi selain berlari ke kawasan semak terletak kira-kira 100 meter dari lokasi serbuan.

"Pemeriksaan lanjut juga menemui peralatan bagi judi bola golek di kawasan ini," katanya ketika ditemui di Segambut Dalam, di sini, hari ini.

Ana berkata, pihaknya turut merampas 25 ekor ayam dan wang tunai berjumlah RM402 dalam serbuan itu.

"Siasatan awal mendapati kegiatan judi laga ayam di kawasan itu dengan nilai pertaruhan antara RM50 hingga RM2,000, namun tidak membabitkan penganjur dari kawasan luar.

"Soal siasat mendapati kawasan itu turut menempatkan reban ayam yang dipercayai digunakan oleh kaki judi bagi membela ayam masing-masing.

"Kawasan ini menjadi tumpuan kaki judi berkenaan khususnya pada cuti umum dan hujung minggu sejak ia mula beroperasi enam bulan lalu," katanya.

Katanya, pihaknya percaya suspek yang ditahan dalam serbuan itu adalah individu yang tinggal di kampung serta rumah kongsi berhampiran.

"Semua individu yang ditahan serta rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk siasatan lanjut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 44(1)(g) Akta Binatang 1953, Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 7:44 PM