Nurul Hidayah Bahaudin


LALUAN keluar masuk ke Bukit Wawasan, di Puchong, dikawal rapi bagi mengelak kesesakan dan pencerobohan kawasan larangan itu.

EXCO Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Ng Sze Han berkata, pemantauan dijalankan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan Persatuan Komuniti Bukit Wawasan bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang.

"Sukarelawan ditugaskan untuk menjaga laluan A (masuk) dan laluan B (keluar), memeriksa suhu dan merekodkan maklumat sebelum membenarkan pendaki masuk.

"Rondaan juga dibuat bagi memastikan tiada pendaki melepasi kawasan larangan seperti 'blue lagoon' dan air terjun," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Bukit Wawasan, di Puchong, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara berkata, sukarelawan akan melaporkan kepada polis sekiranya ada individu dikesan melepasi kawasan larangan.

"Kami tidak teragak-agak menutup kawasan ini sekiranya prosedur operasi standard (SOP) terutama membabitkan penjarakan sosial gagal dipatuhi.

"Kita tidak mahu situasi di Bukit Broga, Semenyih berlaku di sini. Saya percaya mereka (pendaki) mengikut SOP dan syarat tambahan (ditetapkan) persatuan komuniti demi keselamatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Serdang Deputi Superintendan Pung Hing Chong berkata, pihaknya berpuas hati terhadap pematuhan SOP di tapak pendakian Bukit Wawasan sejak ia dibuka semula pada 15 Jun lalu.

"Selepas dibuka kepada orang awam, kami terus melakukan pemantauan dan tidak ada mengesan sebarang kesalahan seperti mengambil hasil hutan, berburu atau berkelah di lokasi ini.

"Pendaki yang memasuki kawasan larangan seperti 'blue lagoon' dan air terjun bakal dikenakan denda lebih tinggi kerana ia dipelihara bagi penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM)," katanya.

ORANG ramai mengikut SOP ketika aktiviti mendaki pada PKPP di Bukit Wawasan, Puchong. FOTO Saifullizan Tamadi
ORANG ramai mengikut SOP ketika aktiviti mendaki pada PKPP di Bukit Wawasan, Puchong. FOTO Saifullizan Tamadi

Bukit Wawasan atau Hutan Simpan Ayer Hitam dimiliki UPM bagi aktiviti penyelidikan dan bukan dikategorikan sebagai hutan rekreasi.

Sementara itu, tinjauan wartawan Harian Metro di Bukit Broga, Semenyih, hari ini, mendapati tiada individu dibenarkan berada di lokasi berkenaan.

Malah, kawasan berkenaan turut dipantau pihak polis serta anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Pegawai Perhubungan Awam MPKj Kamarul Izlan Sulaiman berkata, pihaknya membuat pemantauan di lokasi terbabit bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah hari.

"Setakat ini, pemantauan dilakukan bersama pihak polis pada waktu puncak iaitu pada hujung minggu. Namun, pemantauan berkala akan dilakukan bagi memastikan tiada sebarang pencerobohan berlaku sepanjang tempoh kawasan terbabit ditutup.

"Malah sehingga kini, tiada aktiviti pencerobohan dikesan berlaku di kawasan berkenaan memandangkan ia dikawal rapi pihak berkuasa," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Bukit Broga ditutup daripada orang awam selepas pihak berkuasa mengesan pelanggaran SOP di kawasan pendakian terkenal itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 3:23 PM