MATAHARI terbit di Bukit Tabur.
MATAHARI terbit di Bukit Tabur.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Matahari terbit dan terbenam antara fenomena alam yang menjadi buruan ramai pencinta alam untuk menyaksikan keindahan pemandangan itu pada sebelah pagi.

Ada yang sanggup bersengkang mata atau bangun tidur lebih awal untuk mendaki gunung atau bukit bagi tujuan berkenaan.

Bagi peminat matahari terbit dan terbenam pemandangan indah yang singkat itu boleh memberikan getaran yang baik kepada mereka. Ia menjadikan 'mood' lebih baik, memberi inspirasi dan menjadi lebih bersyukur.

Ada beberapa lokasi untuk menyaksikan matahari terbit dan terbenam di Lembah Klang:

1. Bukit Tabur

Terletak di antara Taman Melawati dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang juga salah satu lokasi popular kalangan peminat aktiviti mendaki bukit.

Berketinggian 396 meter dari aras laut, Bukit Tabur mempunyai pemandangan menakjubkan terutama matahari terbit.

Namun, mendaki di Bukit Tabur agak berbahaya atas faktor batu-batuan dan merekodkan banyak tragedi kematian serta pendaki terjatuh.

2. Bukit Broga

Terletak di Semenyih, Selangor menjadi salah satu lokasi pilihan pendaki untuk menyaksikan matahari terbit.

Ini kerana Bukit Broga cukup dikenali mempunyai pemandangan matahari terbit yang menarik.

Bukit Broga berketinggian 400 meter mempunyai trek yang agak mudah dan sesuai didaki semua peringkat usia termasuk mereka yang baru mencuba aktiviti mendaki.

BUKIT Broga.
BUKIT Broga.

3. Batu Caves

Salah satu tarikan pelancongan terkenal Malaysia dan menjadi tempat berkumpul ribuan masyarakat India untuk menyambut perayaan Thaipusam setiap tahun.

Walaupun perlu mendaki 272 anak tangga, tetapi kepenatan itu berbaloi apabila menyaksikan pemandangan matahari terbit yang menakjubkan di Batu Caves.

4. Masjid As- Salam, Puchong

Juga dikenali sebagai masjid terapung yang dibina di tasik, selain menonjolkan keunikan pada reka bentuk seni binanya.

Banguan dua tingkat setengah ini boleh memuatkan kira-kira 4,000 jemaah dalam satu masa.

Pemandangan menakjubkan boleh dinikmati pada waktu senja yang mana cahaya matahari terbenam akan memantulkan imej bayang-bayang masjid pada permukaan tasik.

MASJID As- Salam, Puchong mempunyai pemandangan menarik matahari terbenam.
MASJID As- Salam, Puchong mempunyai pemandangan menarik matahari terbenam.

5. Taman Tasik Titiwangsa

Selain mengunjungi Taman Tasik Titiwangsa untuk beriadah, peluang ini boleh juga digunakan untuk menyaksikan keindahan pemandangan matahari terbenam.

Uniknya pemandangan itu ialah berlatarkan Kuala Lumpur dan tasik bagaikan cermin kerana boleh melihat pantulan KLCC.

Selain berjogging, boleh juga menyewa basikal untuk aktiviri riadah yang lebih santai.

6. Bukit Antarabangsa

Salah satu lokasi untuk menyaksikan matahari terbenam yang berbaloi dikunjungi.

Ramai mengunjungi tempat ini untuk aktiviti riadah pada sebelah pagi atau petang.

Dikelilingi kehijauan tumbuhan memberikan ketenangan dan kedamaian apabila berada di kawasan berkenaan.

BUKIT Antarabangsa.
BUKIT Antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 6:11 AM