PENGUNJUNG, pendaki Bukit Broga dikenakan bayaran.
PENGUNJUNG, pendaki Bukit Broga dikenakan bayaran.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Semenyih: “Dulu percuma dan sekarang perlu bayar RM1,” demikian rungutan pendaki Bukit Broga, di sini, apabila dikenakan bayaran untuk mendaki bukit berkenaan.

Difahamkan kawasan rekreasi itu mula mengenakan bayaran RM1 kepada pendaki oleh orang perseorangan yang ‘menjaga’ Bukit Broga sejak awal bulan ini.

Rata-rata pendaki berpendapat meskipun kadarnya tidak mahal, tetapi bayaran berkenaan tidak perlu kerana ia tempat rekreasi yang terbuka kepada orang ramai untuk beriadah.

Kakitangan kerajaan yang hanya dikenali sebagai Osman berkata, dia tidak kisah jika dikenakan bayaran untuk mendaki Bukit Broga tetapi biarlah pihak berkuasa yang melaksanakannya.

“Sebagai contoh beberapa gunung yang terletak di hutan simpan seperti di Negeri Sembilan dan Selangor yang mengenakan sejumlah bayaran tetapi dikutip oleh Jabatan Hutan.

“Kita lebih berpuas hati jika pihak berkuasa yang mengenakan bayaran dan bukan orang perseorangan yang mungkin ada kepentingan tersendiri,” katanya.

Penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) Iffah Fatini Che Hamid, 19, berkata, dia terkejut apabila tempat rekreasi itu dikenakan bayaran dan bimbang kadarnya akan meningkat pada masa akan datang.

“Mungkin ada pihak mahu mengkomersialkan Bukit Broga dan sebab itu dikenakan bayaran disebabkan tempat ini sentiasa menjadi tumpuan ramai pada hujung minggu, cuti umum dan cuti persekolahan.

“Datang ke Bukit Broga dah rasa macam pergi ke ‘pusat beli-belah’ kerana turut dikenakan bayaran tempat letak kereta sebanyak RM3 dan tandas pula RM1,” katanya kepada Harian Metro.

Kakitangan swasta Amirul Ibrahim, 23, berkata, tahap keselamatan di bukit itu perlu dipertingkatkan selepas bayaran berkenaan dikenakan.

“Saya sudah dua kali mendaki bukit ini dan mendapati tali keselamatan di laluan yang mencabar perlu diganti yang lebih kukuh dan diperbanyakkan lagi.

“Ini bagi menjamin keselamatan pendaki yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia,”katanya.

Katanya, dia juga berasa hairan apabila bayaran dikenakan selepas Bukit Broga popular dan kelihatan seperti ada pihak cuba mengambil kesempatan dengan kelebihan itu.

“Saya ada bertanya kepada penjaga laluan mendaki ke Bukit Broga tentang bayaran itu dan dia mengatakan bukit berkenaan adalah milik swasta.

“Dia (penjaga) menambah dan memberitahu hanya ditugaskan untuk mengutip duit bayaran sebelum mendaki Bukit Broga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 10:05 AM