Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Serdang: Unit berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar kawasan tumpuan ramai di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, selain melakukan pemeriksaan pematuhan SOP pasukan unit berkuda juga mengadakan rondaan cegah jenayah.

"Selain langkah pencegahan jenayah, anggota polis yang meronda juga akan beramah mesra bersama masyarakat setempat selain mengedarkan risalah pencegahan jenayah.

"Ia sekali gus memberi peluang kepada masyarakat menyalurkan sebarang permasalahan sama ada berkaitan jenayah, penyalahgunaan dadah, jenayah komersil dan lain-lain maklumat untuk tindakan pihak polis,"katanya ketika ditemui selepas melakukan rondaan berkuda di Bandar Puteri Puchong, hari ini.

Rondaan unit berkuda PDRM di Pusat Bandar Puteri, Puchong.  FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Rondaan unit berkuda PDRM di Pusat Bandar Puteri, Puchong. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Razali berkata, masyarakat setempat dapat mengambil peluang serta memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk bersama-sama mencegah jenayah seterusnya mengurangkan perasaan takut masyarakat menjadi mangsa jenayah.

"Rondaan berkuda itu sejajar dengan objektif PDRM berpandukan Seksyen 3(3) Akta Polis 1967 dalam memastikan ketenteraman dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

"Rondaan akan tertumpu di kawasan tumpuan orang ramai meliputi pusat perniagaan, pasar raya besar, kawasan bank, institusi kewangan serta taman perumahan,"katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 1:37 PM