FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohamed Farid Noh


SERAMAI 54,097 pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam di Johor akan kembali memulakan sesi persekolahan, esok.

Ia termasuk pelajar sekolah menengah harian, sekolah berasrama penuh serta sekolah teknik.

Sebanyak 234 sekolah menengah termasuk asrama penuh serta sekolah teknik akan dibuka membabitkan 49,245 pelajar Tingkatan Lima dan 4,852 pelajar Tingkatan Enam.

Sejak awal bulan ini, sekolah-sekolah di Johor membuat persiapan rapi bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia termasuk jarak meja pelajar dua meter antara satu sama lain selain menyediakan tempat membasuh tangan dengan cecair pembasmi kuman di setiap blok kawasan sekolah.

Pada 10 Jun lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan tarikh pembukaan semula sesi persekolahan bagi kelas peperiksaan awam adalah pada esok.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin dilaporkan berkata, sesi persekolahan itu membabitkan pelajar kelas peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira andaian dan nasihat daripada KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2020 @ 6:56 PM