Cikgu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perling, Mohd Afendi Mat Yusof (dua dari kiri) mengajar pelajar menggunakan cecair pembasmi kuman serta mengikuti penjarakan sosial ketika memasuki kawasan persekolahan.  FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Cikgu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perling, Mohd Afendi Mat Yusof (dua dari kiri) mengajar pelajar menggunakan cecair pembasmi kuman serta mengikuti penjarakan sosial ketika memasuki kawasan persekolahan. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Mohamed Farid Noh


SERAMAI 54,097 pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam di Johor, ceria dan gembira pada hari pertama sekolah dibuka kembali selepas lebih tiga bulan ia ditutup berikutan penularan wabak Covid-19.

Tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perling, di Johor Bahru mendapati pelajar hadir ke sekolah berkenaan seawal 6.30 pagi selepas dihantar ibu bapa dan penjaga masing-masing.

Pelajar dilihat disaring suhu badan sebelum dibenarkan masuk ke perkarangan sekolah dan mendaftar kehadiran mengikut kelas di kantin sekolah sebelum menuju kelas masing-masing.

Guru sekolah juga dilihat memantau pergerakan setiap pelajar supaya mematuhi penjarakan sosial selain menerangkan prosedur standard operasi (SOP) termasuk tidak boleh berjalan beriringan selain kerap mencuci tangan di sinki.

Pelajar Tingkatan Lima, Lishaa Jayabalan, 17, berkata , dia gembira akhirnya dapat kembali ke sekolah selepas lebih tiga bulan tidak dibenarkan ke mana-mana oleh keluarganya.

"Bukannya gembira sebab dapat kebebasan keluar namun sebenarnya lebih kepada bersyukur akhirnya dapat belajar secara bersemuka bersama guru dan rakan.

"Ramai pelajar termasuk saya tidak puas belajar menerusi aplikasi di Internet kerana ia agak kekok dan terbatas, " katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, meninjau pembukaan semula sekolah di SMK Seri Perling hari ini dengan melawat beberapa kelas serta bertanya khabar pelajar sekolah itu.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Pendidikan Johor, Shaharuddin Saari dan Pengetua SMK Seri Perling, Chan Wei May.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Lima. Adriena Anisa Mohd Ravi, 17, berasa selamat berada di sekolah apabila melihat SOP ketat diamalkan malah semua guru turut memantau pelajar setiap masa.

"Alhamdulillah, tiada kerisauan langsung berikutan kami pelajar mematuhi SOP yang ditetapkan dan akan memastikan setiap peraturan diikuti, " katanya.

Rakannya, Chew Poh Shuang, 17, berkata, ibu bapanya turut tidak risau melepaskannya ke sekolah.

"Namun, ibu bapa saya tiada perasaan itu kerana pihak sekolah mengambil inisiatif memberi penerangan kepada penjaga pelajar mengenai apa SOP dilakukan mereka sebelum sekolah dibuka lagi sekali gus memberi keyakinan pada ibu bapa kami, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 9:27 AM