PENGGUNA beratur bagi membeli pakej My30 di kaunter khidmat pelanggan Stesen LRT KL Sentral. FOTO Ihsan PRASARANA
PENGGUNA beratur bagi membeli pakej My30 di kaunter khidmat pelanggan Stesen LRT KL Sentral. FOTO Ihsan PRASARANA
Muhaamad Hafis Nawawi

SEBANYAK 21,403 pas perjalanan tanpa had My30 terjual pada hari pertama, semalam.

Malah, ada pelanggan sanggup beratur seawal jam 6 pagi di kaunter khidmat pelanggan Rapid KL.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Muhammad Nizam Alias berkata, pihaknya menjangkakan bilangan ini akan terus meningkat.

Katanya, pelanggan harian pasti tertarik kerana meraih lebih penjimatan menerusi pakej 'super' jimat ini, yang dijangka turut mampu menarik minat pengguna baharu khususnya yang belum pernah menggunakan pengangkutan awam sebagai mod utama ke tempat kerja.

"Pengenalan pakej ini membuktikan kerajaan prihatin terhadap masalah yang dihadapi rakyat. Inisiatif ini juga diharap akan dapat membantu melonjak kembali jumlah pengguna pengangkutan awam seliaan Prasarana.

"Rata-rata pengguna amat teruja dan berterima kasih kepada kerajaan yang memperkenalkan pakej My30 bagi membantu mengurangkan beban rakyat, khususnya yang terjejas dengan wabak pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Nizam berkata, Prasarana amat terharu dengan maklum balas yang diterima daripada netizen.

"Daripada 2,209 percakapan mengenai My30 di jaringan media sosial, lebih 85 peratus komen diterima adalah sangat positif dan kami amat berterima kasih kepada pengguna yang mendokong kami selama ini," katanya.

Pakej ini terbuka kepada semua warganegara yang menggunakan perkhidmatan rel dan bas seliaan Prasarana di Lembah Klang sahaja.

Menerusi pakej ini pengguna hanya bayar RM1 sehari untuk menggunakan perkhidmatan awam tanpa had.

Pengguna yang belum melanggan pakej My30 boleh berbuat demikian di semua 122 stesen transit aliran ringan (LRT), stesen Transit Aliran Massa (MRT), Monorel, Bus Rapid Transit (BRT) dan lima hab bas Rapid KL di Pasar Seni; Seksyen 2, Shah Alam; Greenwood; Terminal Kajang dan Sri Nilam dengan menggunakan MyKad dan MyTentera masing-masing.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2020 @ 2:26 PM