PENGGUNA LRT menggunakan bas perantara percuma di hadapan Stesen LRT Pasar Seni ketika laluan LRT Kelana Jaya ditutup sementara susulan masalah teknikal. FOTO Aswadi Alias
PENGGUNA LRT menggunakan bas perantara percuma di hadapan Stesen LRT Pasar Seni ketika laluan LRT Kelana Jaya ditutup sementara susulan masalah teknikal. FOTO Aswadi Alias
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Rapid Bus akan menambah 20 bas perantara percuma untuk membawa penumpang terjejas ekoran penutupan 16 stesen di Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya bermula esok.

Prasarana dalam kenyataan hari ini berkata, inisiatif itu dilakukan dengan kerjasama daripada Smart Selangor dengan penyediaan 20 bas.

"Buat masa ini, pihak Rapid Bus menyediakan 83 bas bagi menampung jumlah penumpang yang tinggi. Jumlah bas perantara lebih daripada 100 bas ini adalah bagi menampung penumpang di lima laluan LRT.

"Lima laluan berkenaan ialah Stesen Ara Damansara-Stesen Pasar Seni; Stesen Ara Damansara-Stesen Kelana Jaya; Stesen Kelana Jaya-Stesen Pasar Seni; Stesen Pasar Seni-Stesen Masjid Jamek dan Stesen Masjid Jamek-Stesen Dato Keramat," katanya.

Menurutnya, seramai 80 kakitangan Prasarana akan ditempatkan di stesen bagi membantu penumpang daripada segi memberi panduan untuk menaiki bas perantara dalam usaha memantapkan kawalan pergerakan penumpang.

"Bagi penumpang yang terjejas oleh gangguan perkhidmatan, pihak Rapid Rail akan memberi tambang percuma untuk setiap hari gangguan perkhidmatan kepada pengguna LRT Laluan Kelana Jaya.

"Ini akan dilaksanakan selepas perkhidmatan laluan berkenaan dipulihkan dan maklumat terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

Katanya, perkembangan proses baik pulih LRT Laluan Kelana Jaya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kepada orang awam menerusi saluran media sosial dan media massa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 11:05 PM