Muhaamad Hafis Nawawi


PANIK melihat kehadiran pihak polis menyebabkan ada ahli sindiket judi dalam talian warga China cuba melarikan diri termasuk bersembunyi di dalam tandas sebuah banglo di Kelana Jaya, hari ini.

Bagaimanapun, dalam serbuan 12 tengah hari oleh tujuh pegawai dan 15 anggota pasukan khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan 15 warga China terdiri 12 lelaki dan tiga wanita berusia 21 hingga 50 tahun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil siasatan mendapati mereka masuk ke negara ini pada Oktober tahun lalu dan menjadikan kediaman itu sebagai pusat panggilan judi dalam talian sejak Disember lalu.

Menurutnya, mereka mampu mengaut keuntungan antara RM150,000 hingga RM200,000 sehari dengan menyasarkan mangsa di Beijing, China dan Kanada.

"Pada sebelah pagi mereka akan menyasarkan kaki judi di Kanada dan petang pula di negara mereka sendiri.

"Sewaktu serbuan, ada antara ahli sindiket yang ingin melarikan diri dengan cuba terjun, namun gagal selepas ditahan polis," katanya pada sidang media selepas serbuan itu, hari ini.

Pegawai polis melakukan siasatan terhadap sindiket yang berjaya ditahan dalam sebuah kediaman yang dijadikan pusat panggilan sindiket judi online antarabangsa di Kelana Jaya. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Pegawai polis melakukan siasatan terhadap sindiket yang berjaya ditahan dalam sebuah kediaman yang dijadikan pusat panggilan sindiket judi online antarabangsa di Kelana Jaya. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM

Nik Ezanee berkata, sindiket judi dalam talian sebelum ini berhenti seketika ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum beroperasi semula, baru-baru ini.

"Setiap ahli sindiket terbabit dipercayai menerima gaji sekitar RM5,000 sebulan dan ketika serbuan didapati barangan keperluan untuk memasak juga baru dibeli.

"Kita turut merampas sebanyak 11 komputer dan 57 telefon bimbit yang digunakan sindiket terbabit," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 3:20 PM