Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my


Ampang Jaya: Dua belas kaki judi tegar ditahan ketika asyik membuat pertaruhan secara dalam talian pada serbuan di sebuah premis di Pandan Jaya di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan awal mendapati, premis itu beroperasi 24 jam sehari sejak dua minggu lalu dan hanya mensasarkan pelanggan yang dikenali.

"Ketika serbuan, sebahagian pemain melarikan diri ke tingkat atas premis namun dapat ditahan.

"Individu ditahan membabitkan 10 warga tempatan dan dua warga asing. Kami turut menahan lima wanita dan seorang lelaki warga Indonesia yang juga penjaga premis," katanya ditemui di lokasi sejurus tamat operasi.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya merampas tablet, modem selain wang pertaruhan.

SEBAHAGIAN individu yang ditahan dipercayai terbabit dengan judi dalam talian dibawa ke balai polis bagi siasatan ketika serbuan di Pandan Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim
SEBAHAGIAN individu yang ditahan dipercayai terbabit dengan judi dalam talian dibawa ke balai polis bagi siasatan ketika serbuan di Pandan Jaya. FOTO Hairul Anuar Rahim

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 January 2021 @ 2:26 PM