Muhaamad Hafis Nawawi


Subang Jaya: Kegiatan sindiket judi menjadikan lima unit apartmen di USJ 21, di sini, sebagai pusat panggilan yang menawarkan khidmat perjudian untuk pelanggan di tiga negara membabitkan Malaysia, Indonesia dan Myanmar tumpas selepas diserbu polis, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Amihizam Abdul Shukor berkata, dalam serbuan bermula jam 6.50 petang, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menahan 19 orang dan merampas 11 komputer, 22 telefon bimbit dan peralatan elektronik lain.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di tingkat 31, polis menahan empat lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan berusia 21 hingga 30 tahun serta merampas tiga komputer, enam telefon bimbit dan modem.

"Bagi serbuan kedua di tingkat 25, tiga lelaki tempatan yang berusia 25 hingga 35 tahun, dua lelaki dan seorang wanita Myanmar berusia 21 hingga 29 tahun ditahan selain enam komputer, 12 telefon bimbit dan modem dirampas.

"Hasil maklumat daripada serbuan kedua, polis menahan dua lelaki dan dua wanita warga Myanmar di tingkat 20 yang berusia 21 hingga 47 tahun," katanya pada sidang media di IPD Subang Jaya, di sini, hari ini.

Amihizam berkata, serbuan susulan di tingkat 23 berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun manakala serbuan terakhir dibuat di tingkat 12 berjaya menahan dua wanita dan seorang lelaki tempatan berusia 24 hingga 25 tahun serta merampas dua komputer, empat telefon bimbit dan modem.

"Siasatan awal mendapati pusat panggilan ini menawarkan khidmat judi dalam talian kepada pelanggan di Malaysia, Indonesia dan Myanmar dengan menggunakan aplikasi Facebook dan Wechat.

"Sindiket ini sudah beroperasi selama dua bulan dengan keuntungan sebulan dianggarkan RM700,000 di mana suspek bekerja sebagai operator dengan bayaran gaji RM2,000 hingga RM4,000 sebulan," katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(a), 4(1)(c) dan 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana disyaki terbabit penganjuran judi dalam talian dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana dokumen perjalanan tamat tempoh.

Amihizam menunjukkan rampas komputer yang berkaitan judi talian pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Amihizam menunjukkan rampas komputer yang berkaitan judi talian pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 5:56 PM