GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

LAPAN lelaki dan seorang wanita yang disyaki terbabit sindiket Macau Scam, susulan aduan seorang wanita berumur 90 tahun kerugian mencecah RM3.83 juta Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kesemua suspek berumur 30 hingga 43 tahun itu ditahan sejak awal bulan ini, selepas polis menerima aduan mengenai kes berkenaan pada 28 Jun lalu.

"Sebanyak tujuh akaun syarikat di empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sabah juga dibekukan dengan jumlah RM1.4 juta," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, kes itu bermula apabila wanita berkenaan menerima panggilan telefon kononnya dari Pos Malaysia mengatakan ada menerima bungkusan mengandungi kad pengenalan dan kad bank miliknya pada April lalu.

"Panggilan berkenaan kemudiannya dipindahkan kepada seorang individu yang menyamar pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan memberitahu kononnya wanita itu terlibat kes penggubahan wang haram dan akan ditahan," katanya.

Nik Ezanee berkata, wanita berkenaan yang risau dengan situasi itu, kemudian mengikut sahaja arahan suspek untuk membayar sejumlah wang tunai dengan membuat transaksi kepada tujuh akaun syarikat berbeza antara 20 April dan 15 Jun lepas bagi mengelak ditahan.

Beliau berkata, sindiket Macau Scam dilihat sering mensasarkan golongan warga emas atau mereka yang kurang pendedahan mengenai jenayah siber dan menurutnya kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, polis menahan lima lelaki dan dua wanita, kesemuanya warga China berumur antara 16-39 tahun kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan judi dalam talian di dua unit kondominium di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, semalam.

Nik Ezanee berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu menjalankan kegiatan mempromosi judi dalam talian yang berpusat di Malaysia melalui pautan laman sesawang ziji678.com dengan mensasarkan pelanggan dari China.

"Dalam serbuan pada jam 6 petang itu, polis turut menemui beberapa barangan disyaki digunakan dalam kegiatan judi dalam talian tanpa lesen itu, iaitu sejumlah 18 buah telefon bimbit, sembilan komputer riba, selain wang tunai bernilai RM650, yang dirampas," katanya dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu Selasa lepas, 13 warganegara China dan seorang warga tempatan ditahan dalam serbuan di beberapa buah rumah di Tropicana Avenue di sini, kerana disyaki menjalankan kegiatan penipuan pelaburan dalam talian membabitkan mata wang kripto.

Menurut Nik Ezanee, kesemua suspek berusia antara 19-36 tahun direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 7:11 PM