MAT Dan menunjukkan sotong yang berjaya dinaikkan sempena program Demonstrasi Garis Panduan SOP Aktiviti Candat Sotong di perairan Pulau Kapas. FOTO Zaid Salim
MAT Dan menunjukkan sotong yang berjaya dinaikkan sempena program Demonstrasi Garis Panduan SOP Aktiviti Candat Sotong di perairan Pulau Kapas. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


KENANGAN manis mencandat sotong bersama keluarga yang datang dari England tujuh tahun lalu di Terengganu, menggamit rindu Mat Dan terhadap mereka akhir-akhir ini.

Jika sebelum ini keluarganya kerap berkunjung ke negeri Pantai Timur itu untuk meluangkan masa bersama saban tahun, kini semuanya terhalang berikutan penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia.

Mat Dan atau nama penuhnya, Mohammad Kareef Daniel Abdullah, 31, mengakui keluarganya, termasuk datuk dan nenek di England minat mencandat sotong.

Katanya, kali pertama keluarganya mencandat sotong di Terengganu pada 2013 dan ia menjadi kenangan indah serta pengalaman berharga buat mereka.

"Setiap tahun keluarga saya akan datang ke sini (Terengganu), namun mereka terpaksa 'menahan rindu' kerana terhalang dengan perintah kawalan pergerakan yang ketat di England.

"Sejak penularan pandemik Covid-19, setiap hari kami membuat panggilan video, ibu dan ayah saya juga rindu untuk bertemu cucunya.

"Mereka (keluarga) 'rindu' nak mencandat sotong kerana suasana itu tidak ada di England," katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Semalam, Mat Dan mencandat sotong bersama kakitangan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu sempena program Demonstrasi Garis Panduan SOP Aktiviti Candat Sotong di perairan Pulau Kapas, Marang.

Menceritakan kenangan manis bersama keluarga mencandat sotong pada 2013 lalu, Mat Dan berkata, antara keluarganya yang datang ke Terengganu adalah datuk dan neneknya, David Shea dan Janet Shea, masing-masing berusia 83 tahun bersama bapa, Kevin Tyler 61 serta ibu, Nicola Tyler 54.

Selain itu, katanya, adik-beradiknya, Joe Tyler, 32, William Tyler, 27, dan iparnya, Sarah Tyler, 32, turut bersama mencandat sotong di perairan negeri itu.

"Datuk saya menggunakan kaedah joran teruja apabila berjaya menaikkan sotong selepas tidak sampai lima minit mereka melakukan aktiviti itu.

"Kami (sekeluarga) berjaya menaikkan sebanyak 20 kilogram sotong ketika itu.

"Selepas itu kami ke Pulau Kapas, hasil tangkapan itu kami sajikan sebagai hidangan barbeku dan makan bersama pengunjung serta rakan di pulau," katanya.

Mat Dan berkata, setiap tahun bermula April hingga Ogos, perairan negeri ini khususnya di sekitar Pulau Kapas, Bidong, Redang dan Perhentian diterangi cahaya lampu bot yang menjalankan aktiviti mencandat sotong.

"Keadaan itu menjadikan suasana tidak ubah seperti 'pasar malam' di tengah laut dan suasana itu," katanya yang kini menetap di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur bersama isteri, Nadifa Adnan, 30, dan anak lelaki, Muhammad Zayne Danial James Tyler berusia 9 bulan

Sebagai duta pelancongan negeri, Mat Dan menyeru orang ramai dan penggemar candat sotong datang ke Terengganu melakukan aktiviti itu yang mula dibuka kepada orang ramai bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 10:13 PM