Keadaan bot yang bocor dan tenggelam di perairan Pulau Kapas.
Keadaan bot yang bocor dan tenggelam di perairan Pulau Kapas.
 Mohd Zulkefli   rugi RM60,000 selepas bot miliknya bocor sebelum tenggelam ketika mencandat sotong di perairan Pulau Kapas, kelmarin.
Mohd Zulkefli rugi RM60,000 selepas bot miliknya bocor sebelum tenggelam ketika mencandat sotong di perairan Pulau Kapas, kelmarin.
Zatul Iffah Zolkiply

Marang: “Saya tidak henti-henti menimba air yang masuk ke dalam bot sementara menunggu bot berhampiran datang membantu,” kata Mohd Zulkefli Kassim, 50, yang kerugian RM60,000 selepas bot miliknya bocor sebelum tenggelam ketika mencandat sotong di perairan Pulau Kapas, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku jam 7.40 malam ketika Mohd Zulkefli bersama seorang pekerjanya bersama enam lagi lelaki sedang mencandat sotong tiga batu nautika dari Pulau Kapas sebelum keadaan bertukar cemas apabila bahagian berhampiran enjin bot bocor dan dimasuki air.

Menurut Mohd Zulkefli, dia bersama kumpulan berkenaan keluar mencandat sotong jam 6 petang dan tiba di lokasi mencandat satu jam kemudian sebelum memulakan aktiviti mencandat sotong.

Katanya, kejadian itu hanya disedarinya sebaik dia selesai menunaikan solat Maghrib apabila pemeriksaan mendapati bahagian enjin sudah dimasuki air.

“Keadaan agak cemas ketika itu dan saya mendapatkan bantuan dengan memberi isyarat kepada sebuah bot yang berada berhampiran menggunakan lampu suluh.

“Ketika itu, keadaan laut bergelora ditambah dengan angin yang agak kuat. Malah, dalam tempoh itu, saya tidak henti-henti menimba air yang masuk sebelum bot itu akhirnya tiba 20 minit kemudian.

“Saya kemudian mengarahkan semua yang ada berpindah ke bot berkenaan sebelum kami dibawa ke Pulau Kapas manakala bot milik saya tenggelam.

“Mujurlah, kebocoran itu disedari cepat selain ada bot lain yang berhampiran dengan kami. Tidak dapat saya bayangkan jika tiada bantuan yang sampai,” katanya yang sudah lebih 20 tahun menjadi nelayan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu Zawawi Ali berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Katanya, mana-mana nelayan yang mahu membawa penumpang termasuk untuk aktiviti mencandat perlu mendapatkan surat kebenaran daripada Jabatan Laut terlebih dahulu.

“Sebelum Jabatan Laut mengeluarkan surat kebenaran itu, nelayan perlu memastikan bot mereka selamat dinaiki dan memenuhi syarat ditetapkan termasuk mempunyai jaket keselamatan.

“Bagi penumpang pula, mereka dinasihatkan memilih bot yang mendapat surat kebenaran daripada Jabatan Laut bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 6:17 AM