TIOMAN bukan sahaja sebagai lokasi untuk skuba dan snorkeling malah menarik peminat aktiviti candat sotong.
TIOMAN bukan sahaja sebagai lokasi untuk skuba dan snorkeling malah menarik peminat aktiviti candat sotong.
Nurul Husna Mahmud


MASUK saja pertengahan tahun iaitu bermula April sehinggalah kemuncaknya Ogos, ia menandakan bermulanya musim mencandat sotong.

Kebiasaannya sebelah pantai timur seperti Pulau Kapas, Marang, Pulau Kambing, Kuala Terengganu, Pulau Chepu, Setiu dan beberapa lubuk mencandat menjadi perhatian peminat aktiviti itu di Terengganu.

Antara keseronokan di sebalik aktiviti ini menurut kebanyakan pencandat tegar ialah apabila umpan tiruan berjaya 'dipagut' sotong.

Apatah lagi tidak kisah jika perlu bermalam di tengah laut mahupun mengharung 'mabuk' laut apabila sesetengah pencandat 'alah' dengan ayunan ombak sepanjang bot berlabuh di lubuk sotong.

Bagaimanapun, cabaran untuk tahun ini apabila peminat aktiviti mencandat terpaksa akur dengan sekatan terhadap aktiviti berkenaan akibat pandemik Covid-19.

Dalam mengubati kerinduan penggemar aktiviti terbabit, penulis ingin kongsikan tarikan lokasi lain bagi aktiviti mencandat sotong di Kuala Rompin atau paling tepat sekitar Pulau Tioman, Pahang.

Rupanya selain aktiviti skuba dan 'snorkeling', pulau yang pernah dinobatkan antara tercantik di dunia suatu ketika dahulu turut menjadi lubuk bagi aktiviti mencandat sotong.

Hal itu dikongsikan Pengemudi Bot Mat Rompin Boat Charter, Mohd Khairul Nizam Abdul Rahim, yang mempunyai pengalaman lebih 14 tahun membawa penggiat aktiviti memancing laut dalam termasuklah mencandat di destinasi berkenaan.

BOT lampu hijau terang penting bagi mengumpan kumpulan sotong.
BOT lampu hijau terang penting bagi mengumpan kumpulan sotong.

Kata Mohd Khairul Nizam yang lebih mesra dengan panggilan Mat Rompin, dalam kalangan komuniti pemancing dan pencandat tegar, Pulau Tioman turut menawarkan pengalaman yang menarik bagi peminat aktiviti itu.

"Pulau Tioman antara pulau percutian yang terkenal bagi penggemar aktiviti pulau dan pantai. Panorama laut yang jernih dan hijau selain batu karang menjadi tarikan penyelam skuba selain terdapat sekelompok pengunjung yang mempunyai misi lain.

"Bagi mereka yang bergelar kaki pancing atau sukakan aktiviti mencandat sotong, terdapat lebih lima lubuk yang dikatakan memberi kepuasan.

"Biasanya mereka akan mula datang sekitar Mei sehinggalah November kerana tempoh itu adalah musim mencandat. Kebanyakan yang datang dalam kumpulan dengan kapasiti lapan orang," katanya yang mempunyai dua pembantu.

Mengenai kelebihan atau ikhtiar pihaknya dalam memastikan setiap pencandat memperoleh hasil lumayan, kata Mohd Khairul, situasi itu bergantung kepada inisiatif pengusaha bot itu sendiri.

"Selain menggunakan umpan tiruan atau alat candat yang digemari sotong di perairan itu, saya menggunakan dua lampu ditempah khas berwarna hijau dengan 6,000 kilowatt bagi menarik kumpulan sotong berkumpul.

"Sotong ini saya umpamakan seperti lalat. Lalat akan tertarik dengan bau bangkai yang paling kuat sementara sotong akan tertarik untuk dekat dengan bot yang mempunyai lampu paling terang," katanya.

Menjelaskan perjalanan ke lokasi mencandat pula, katanya, kebiasaan peminat aktiviti itu akan berkumpul di jeti Sungai Puteri, Kuala Rompin.

HASIL boleh mencecah 400 kilogram bagi satu malam dengan lapan pencandat.
HASIL boleh mencecah 400 kilogram bagi satu malam dengan lapan pencandat.

"Biasanya mereka yang mencandat akan memulakan perjalanan jam 3 petang dan tiba di lokasi lubuk sekitar jam 5 atau 6 petang.

"Pengusaha bot akan mula lakukan persiapan termasuk memasang lampu dan juga siapkan alat mencandat. Terpulang kepada mereka sama ada untuk mula candat petang atau malam dan kebiasaannya kami pulang pada jam 7 pagi," katanya.

Menjelaskan situasi semasa mengenai aktiviti mencandat ketika ini, kata Mohd Khairul Nizam, ketika ini mencandat hanya dihadkan kepada pengusaha bot sebagai kegiatan sara hidup berbanding rekreasi.

"Sebelum ini kebanyakan yang mencandat adalah 70 peratus warga Singapura tetapi tahun lalu yang datang hanyalah pelancong tempatan. Pada tahun ini saya menjangkakan tiada kumpulan pencandat dapat dibawa bagi aktiviti rekreasi.

"Sebagai pengusaha bot yang bergantung penuh dengan hasil sewaan bot, saya terpaksa mencandat sotong dan menangkap ikan untuk 'survival' atau jana pendapatan yang terjejas," katanya.

Bagi sekali perjalanan mencandat, kata Mohd Khairul Nizam, dengan kapasiti lapan pencandat boleh meraih hasil sehingga 400 kilogram satu malam.

"Selain Pulau Tioman, tidak jauh terdapat Pulau Seri Buat terletak sejam perjalanan dari jeti Kuala Rompin atau Pulau Tioman. Di sini juga terdapat lebih empat lubuk untuk mencandat.

"Perairan mencandat di perairan Pulau Tioman atau Kuala Rompin tidak sesibuk sebelah perairan Terengganu.

"Selain itu pengusaha tempatan di sini mempunyai lesen dan insurans dengan Jabatan Laut bagi memastikan keselamatan pengunjung yang melakukan aktiviti mencandat," katanya turut berkongsi aktiviti itu menerusi Facebook dan YouTube.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 6:45 AM