Rosman Shamsudin


JAMBATAN di daerah Muallim, Perak dengan Hulu Bernam, Selangor yang tular apabila menjadi tempat pertemuan dua beradik pada Aidilfitri lalu, akan dibuka semula untuk orang ramai merentas negeri selepas 12 tengah malam ini.

Pada 6.30 petang hari ini, orang ramai berkumpul berhampiran jambatan memisahkan dua negeri itu bagi menyaksikan pihak Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) dan anggota polis membuka penghadang jalan dan kawat duri dipasang bagi mengelak orang ramai merentas negeri semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Rata-rata penduduk berbilang bangsa yang tinggal berhampiran sempadan dipisahkan Sungai Bernam itu menganggap inilah detik bersejarah tidak akan dilupakan dalam kehidupan mereka.

Penduduk, Yee Jee Kwong berkata, sepanjangnya, inilah kali pertama jambatan di sempadan negeri itu ditutup dalam usaha kerajaan memerangi dan memutuskan rantai wabak Covid-19.

Katanya, terdapat dua jalan persekutuan untuk membolehkan penduduk merentas negeri iaitu salah satunya di Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Taman Universiti, namun sempadan berhampiran Stesen Bas Tanjung Malim menjadi pilihan dan nostalgia penduduk.

ORANG ramai menyaksikan kerja membuka semula laluan di jambatan menjadi sempadan daerah Muallim, Perak  dan Hulu Bernam, Selangor sedang dibuka semula, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
ORANG ramai menyaksikan kerja membuka semula laluan di jambatan menjadi sempadan daerah Muallim, Perak dan Hulu Bernam, Selangor sedang dibuka semula, hari ini. FOTO ihsan pembaca.

"Bermula 12 tengah malam ini, barulah penduduk di kedua-dua negeri boleh menggunakan jambatan untuk merentas negeri terutama menjenguk sanak saudara yang hanya dipisahkan sebatang sungai.

"Hari ini, ramai penduduk penduduk yang tinggal berhampiran sempadan bersyukur dan gembira apabila melihat penghadang jalan dan kawat duri dibuka bagi membolehkan orang ramai melalui jambatan itu semula," katanya.

Ada penduduk mengambil kesempatan bergambar dan berswafoto bagi menjadikan kenangan ketika jambatan dibuka semula untuk kegunaan orang ramai.

Difahamkan ketika kerja membuka sempadan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan pembesar suara memaklumkan bahawa laluan jambatan itu hanya boleh dilalui selepas 12 tengah malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 11:17 PM