SALAH seorang suspek memotong kawat duri berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
SALAH seorang suspek memotong kawat duri berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Tindakan tiga lelaki termasuk dua warga Indonesia memotong kawat duri di laluan tikus dekat jambatan sempadan Ulu Bernam-Tanjung Malim untuk bersiar-siar akhirnya menerima padah apabila mereka ditahan polis, 2.20 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, perbuatan tiga lelaki terbabit dikesan ketika sepasukan polis melakukan pemantauan Ops Covid-19 di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Mukim Hulu Bernam Timur.

Katanya, ketika ditahan, ketiga-tiga suspek yang berumur 21 hingga 53 tahun terbabit mengaku memotong dawai yang mengikat kawat besi untuk melintasi sempadan dari Changkat Asa, Ulu Bernam ke Kampung Lambak, Tanjung Malim bagi tujuan bersiar-siar.

"Semakan mendapati seorang lelaki tempatan yang ditahan itu mempunyai rekod lampau bagi kesalahan jenayah dan dadah.

"Dua lelaki warga Indonesia pula, salah seorang daripadanya didapati tinggal lebih masa di negara ini dan seorang lagi tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam satu kenyataan media.

Sulizmie Affendy berkata, mereka ditahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat ke atas kawad duri dan Seksyen 269 kanun sama.

Katanya, tindakan kompaun sebanyak RM5,000 dikeluarkan ke atas lelaki tempatan terbabit, manakala dua lelaki warga Indonesia disiasat mengikut Seksyen 61(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

"Kesemua mereka yang berkerja di kebun itu ditahan dan polis akan memohon perintah reman terhadap mereka, hari ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 8:46 AM