PAPARAN berita palsu (gambar kiri) yang didakwa fitnah dengan berita asal pada 2015. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Besar Kelantan
PAPARAN berita palsu (gambar kiri) yang didakwa fitnah dengan berita asal pada 2015. FOTO Ihsan Pejabat Menteri Besar Kelantan
Nor Fazlina Abdul Rahim


KERAJAAN Kelantan menafikan melantik wakil dari China sebagai penasihat ekonomi negeri itu.

Pejabat Menteri Besar menerusi kenyataannya berkata, penyebaran gambar berkenaan adalah fitnah dengan niat jahat untuk mencemarkan imej Kelantan.

Katanya, gambar yang tersebar itu adalah peristiwa pada 2015 ketika kunjungan hormat kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob daripada delegasi pelaburan negara China dalam menerokai industri halal hub antara China dan Kelantan.

"Menteri Besar ketika itu berbesar hati membuat penyampaian sijil kepada Yusof Chia sebagai penghubung dan pemudah cara khas dalam industri halal hub antara negara China dan Kelantan di Pejabat Menteri Besar .

"Yang turut hadir ketika itu, exco kerajaan negeri, Datuk Annuar Tan," katanya.

Menurut kenyataan itu, untuk rekod, kerajaan negeri melantik Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Kelantan yang terdiri daripada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Tan Sri Hamad Kama Piah dan individu terbabit iaitu Xia Baowen dan Bong Hon Liong bukannya anggota majlis berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan tidak terkeliru dan terpengaruh dengan berita yang berniat untuk mencemarkan imej Kelantan dengan fitnah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 10:02 PM