Nik Bahrum Nik Abdullah
Nik Bahrum Nik Abdullah
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Calon Pas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka, Nik Bahrum Nik Abdullah menyifatkan tidak ada istilah 'sailang' berhubung pencalonannya di Dun berkenaan.

Menurutnya, urusan pemilihan dan penetapan calon adalah keputusan pimpinan pusat.

"Saya tidak tahu hasrat Nik Mohamad Abduh mahu bertanding di Dun Chempaka. Malah, saya pun tidak pernah berniat untuk menggantikan sesiapa di situ.

"Urusan pemilihan dan penetapan calon adalah urusan (pimpinan) pusat. Jadi tidak ada istilah 'sailang' dalam kes ini, tambahan pula Ustaz Nik Mohamad Abduh adalah guru saya, mana mungkin anak murid lawan 'tok guru'," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Kerusi Dun Chempaka mula panas sejak semalam apabila adik Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat mendedahkan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar adalah punca kepada anak saudaranya, Nik Mohamad Abduh tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kelantan.

Nik Din mendakwa nama bekas Ahli Parlimen Bachok itu pada awalnya ada sebelum ditolak oleh Mohd Amar, malah Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang sendiri turut menghantar surat meminta Pas Kelantan menyenaraikan nama anak saudaranya.

Bagaimanapun, Mohd Amar menyifatkan tuduhan yang mengaitkannya adalah fitnah dan perkara itu tidak berlaku sama sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 3:40 PM