GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib

PENIAGA di Bera kerugian RM89,208 selepas diugut sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank dan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula 2 Disember lalu apabila wanita berusia 66 tahun itu menerima panggilan wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai bank di Kuala Lumpur.

Katanya, suspek memaklumkan mangsa ada membuat pinjaman daripada bank cawangan Serdang Perdana dan berlaku tunggakan bayaran mencecah RM50,000.

“Mangsa kemudian menafikan perkara itu dan panggilan disambung kepada anggota polis bagi tujuan semakan sebelum mangsa dimaklumkan dia turut dikehendaki atas kes pengubahan wang haram,” katanya.

Beliau menjelaskan, mangsa menafikan dakwaan itu dan diminta berurusan dengan seorang lagi wanita kononnya pegawai Bank Negara bagi urusan menyelesaikan kes berkenaan.

Jelasnya, suspek yang kononnya pegawai dari Bank Negara mengarahkan mangsa supaya memindahkan semua wangnya termasuk wang simpanan daripada akaun bank lain ke satu akaun bank miliknya.

“Pemindahan itu perlu dibuat bagi tujuan siasatan dan mangsa akur dengan arahan itu sekaligus memindahkan wang dari akaun Tabung Hajiberjumlah RM65,000 dan wang hasil gadaian barang kemas, RM7,450 selain baki sedia ada dalam akaun berkenaan.

“Mangsa kemudian diminta mengemaskini akaun banknya itu dengan menukar nombor telefon lama kepada nombor baharu yang diberikan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, selepas semua arahan itu diikuti, mangsa membuat semakan akaun bank berkenaan 5 Februari lalu dan terkejut apabila mendapati wang dalam akaun itu hanya berbaki RM63.21 sen.

“Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, semalam selepas menyedari dirinya ditipu sindiket berkenaan.

“Polis sudah mengambil keterangan mangsa, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Februari 2020 @ 10:55 AM