Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Anak Yatim Parlimen Tanjong Karang di Homestay Haji Omar, Parit 2, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar (kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena Majlis Penyampaian Sumbangan Anak Yatim Parlimen Tanjong Karang di Homestay Haji Omar, Parit 2, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


KEHILANGAN bapa tersayang akibat strok dan lemah jantung, tahun lalu, menyebabkan Ramadan dan Aidilfitri dilalui Wan Muhammad Hazwan Wan Muhammad, 12, kali ini begitu suram.

Menurut murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Burong itu, kehilangan bapa tersayang semakin dirasai apabila dia menyambut Ramadan tanpa insan tercinta yang sering mengajaknya ke bazar.

"Setiap tahun, ayah akan mengajak saya ke bazar untuk membeli juadah berbuka puasa.

"Malah, ayah ingat makanan kegemaran saya iaitu nasi goreng ayam dan dia tidak pernah lupa untuk membelikannya. Namun tahun ini sunyi apabila ayah sudah tiada," katanya.

Wan Muhammad Hazwan ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Anak Yatim Parlimen Tanjong Karang di Homestay Haji Omar, Parit 2, Tanjong Karang, Selangor, hari ini.

Dalam pada itu, anak bongsu dari dua beradik itu berkata, walaupun Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dibatalkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia berharap dapat menunaikan impian arwah bapanya untuk cemerlang dalam pelajaran.

"Arwah ayah mahu saya cemerlang dalam pelajaran dan saya berharap dapat merealisasikan cita-cita itu," katanya.

Ibu kepada Wan Muhammad Hazwan, Norazian Saidin, 51, berkata, sambutan Ramadan dan Aidilfitri kali ini disambut sederhana tanpa suami tercinta.

"Arwah seorang penyayang dan kehilangannya sangat dirasai lebih-lebih lagi pada Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

"Walaupun sukar terima hakikat arwah tidak akan pulang ke pangkuan kami, kami reda dan berdoa rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar berkata, seramai 1,000 anak yatim, keluarga susah dan masjid menerima sumbangan pada tahun ini.

"Tahun sebelumnya, kita beri sumbangan kepada anak yatim dan ibu tunggal. Tahun ini, kita buat sedikit kelainan dengan beri sumbangan kepada anak yatim dan ibunya serta keluarga susah yang mempunyai anak yang lebih dari empat orang dan masih bersekolah.

"Kebetulan, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berjalan. Jadi, saya tak dapat pergi ke semua tempat dan meminta bantuan rakan-rakan untuk mengagihkan sumbangan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 4:41 PM