KEADAAN kenderaan dan motosikal yang terlibat dalam kemalangan. FOTO IHSAN PEMBACA
KEADAAN kenderaan dan motosikal yang terlibat dalam kemalangan. FOTO IHSAN PEMBACA
Amirul Aiman Hamsuddin


KEBIASAANNYA Shafizal Shaufiq Abdul Rahman, 27, akan bersarapan di kedai makan bapanya, Abdul Rahman Mat Lehan, 61, sebelum bertolak ke tempat kerja.

Hari ini, anak ketiga dari enam beradik itu yang juga juruteknik Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tidak bersarapan sebaliknya terus menuju ke tempat kerja di Kuala Selangor.

Bagaimanapun, Allah lebih menyayanginya apabila Shafizal meninggal dunia selepas motosikal Yamaha Y15 ditunggang melanggar Toyota Hilux di Kilometer 55.5, Jalan Klang-Teluk Intan, di hadapan tapak pembinaan Hospital Tanjong Karang baru, hari ini.

Difahamkan, Shafizal sedang menunggu kelahiran anak sulung selepas isterinya, Naurah Sabihah Abdul Rahim, 27, hamil enam bulan.

Bercerita lanjut, Abdul Rahman yang mengusahakan kedai makan sejak lima tahun lalu berkata, menjadi rutin Allahyarham singgah di kedai makan miliknya untuk bersarapan sebelum pergi ke tempat kerja.

Katanya, dia mendapat berita kemalangan membabitkan Shafizal selepas dihubungi anak kelimanya ketika berada di kedai makan.

"Anak saya memberitahu, 'Abah, abang kemalangan'. Bila ditanya mengenai keadaannya, anak cakap arwah cuma luka sedikit.

"Tidak lama selepas itu, saya hubungi anak dan bertanya keadaan arwah. Dia kata arwah akan dibawa ke hospital. Kira-kira 30 minit kemudian, saya hubungi semula dan dia (anak) cakap tengah tunggu polis.

"Waktu itu, saya syak berlaku sesuatu tidak diingini kepada arwah. Apabila saya desak, barulah dia beritahu yang arwah sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong 3, Kampung Sungai Kajang Lama, Tanjung Karang, hari ini.

Abdul Rahman berkata, dia kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat jenazah Allahyarham.

"Waktu tiba di lokasi, saya hanya mampu mengucap panjang dan tidak mampu menahan sebak melihat jasad anak yang sudah tidak bernyawa.

"Yang membuatkan saya bertambah pilu, isteri arwah sedang mengandung dan arwah tidak sempat melihat kelahiran anak sulungnya.

"Tiada sebarang perubahan pada arwah namun 13 Julai lalu, arwah ada menyatakan hasrat membawa keluarga bercuti di Melaka selepas menyambut Aidiladha," katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga reda dengan kejadian terbabit tetapi pasti merindui kebaikan dan keperibadian anak lelakinya itu sewaktu hayatnya.

"Arwah anak yang baik. Dia tidak pernah duduk diam dan rajin membantu saya dan keluarga. Rakan-rakannya sejak dari bangku sekolah memberi gelaran pada arwah 'Mat Senyum' kerana dia selalu tersenyum selain mudah berkawan.

"Kehilangannya amat dirasai dan sebagai ayah, saya reda dengan ketentuan Ilahi dan berdoa agar rohnya ditempatkan di kalangan orang beriman," katanya.

Jenazah Shafizal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pekan Tanjong Karang kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa dari arah bertentangan melanggar bahagian pintu kiri hadapan Toyota Hilux.

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurutnya, pemandu Toyota Hilux berusia 35 tahun tidak mengalami kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 8:19 PM