MOHD Faizal (tiga dari kiri) menyampaikan duit raya kepada anak yatim dan golongan kurang bernasib baik di Kuala Terengganu, semalam. (Gambar kecil),  Muhamad Talhah. FOTO Rozainah Zakaria dan Ahmad Rabiul Zulkifli.
MOHD Faizal (tiga dari kiri) menyampaikan duit raya kepada anak yatim dan golongan kurang bernasib baik di Kuala Terengganu, semalam. (Gambar kecil), Muhamad Talhah. FOTO Rozainah Zakaria dan Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


“JIKA tahun lalu, Ramadan dan Aidilfitri disambut bersama ayah walaupun dia terlantar sakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), tetapi tahun ini, ayah sudah tiada lagi,” kata Muhamad Talhah Abd Razak.

Remaja berusia 15 tahun dari Kampung Buluh, Kuala Berang itu berkata, tahun lalu, dia berpeluang berpuasa dan menyambut Aidilfitri bersama arwah ayahnya, Abd Razak Nordin yang dirawat di HSNZ, Kuala Terengganu kerana jangkitan kuman pada buah pinggang.

“Tahun ini, saya tidak lagi berpeluang menatap wajah arwah pada pagi raya dan berbakti kepadanya berikutan ayah meninggal dunia Julai lalu.

“Saya bersama ibu, Nor Asmah Mustafa, 46, dan adik bongsunya, Abdul Zunnur, 13, terpaksa menerima hakikat menyambut Ramadan dan Aidilfitri tanpa insan tersayang itu.

“Sehingga kini, saya masih merindui arwah apatah lagi saya ditugaskan menjaganya sepanjang arwah berada di wad HSNZ.

“Walaupun terpaksa mengorbankan waktu tidur dan rehat, ia tidak menjadi masalah malah saya bersyukur kerana sempat berbakti kepada arwah sehingga ke akhir hayatnya,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menerong, Hulu Terengganu itu ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa Meraikan Anak Yatim bersama Safuan Group Holdings Bhd dan Regency International Hotel Group di Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, sebelum arwah bapanya diserang penyakit kronik itu, dia pernah ke pusat bandar bersama bapanya bagi membuat persiapan menyambut Aidilfitri beberapa tahun lalu.

“Kenangan membeli baju raya dan segala kelengkapan menyambut lebaran akan terpahat di hati saya sampai bila-bila.

“Arwah seorang penyayang dan kehilangannya sangat dirasai lebih-lebih lagi pada Ramadan dan menjelang Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Regency International Hotel Group, Mohd Faizal Mat Shah berkata, seramai 500 anak yatim dan golongan kurang bernasib baik diraikan Safuan Group Holdings Bhd dan Regency International Hotel Group di semua cawangan pada Ramadan kali ini.

“Pada majlis hari ini (semalam), seramai 40 anak yatim dan golongan istimewa diraikan manakala selebihnya diraikan di dua cawangan lain di Kuala Lumpur dan Perlis.

“Program ini menjadi tradisi kami sejak 30 tahun beroperasi di Kuala Lumpur dan ini tahun ketiga kami menganjurkan program seperti ini di Terengganu dalam usaha meringankan beban serta menceriakan semua penerima sumbangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 8:35 PM