ALEXANDER NANTA LINGGI
ALEXANDER NANTA LINGGI
Mohd Roji Kawi


GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) mengulangi sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Setiausaha Agung GPS, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, sokongan tidak berbelah bahagi itu dizahirkan demi kepentingan negara yang perlu diterajui kerajaan Persekutuan yang stabil.

Beliau berkata, persefahaman dengan kerajaan Persekutuan menjadi kerangka kerja untuk memastikan pemerintahan berfungsi dengan baik.

"GPS adalah rakan kongsi dalam kerajaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan ringkas selepas mesyuarat Majlis Tertinggi GPS di Pejabat Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, dihadiri semua pemimpin kanan empat parti komponen GPS.

Nanta berkata, GPS akan terus melindungi dan memperjuangkan hak Sarawak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan negeri.

"GPS juga akan melindungi semua yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan persefahaman Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 4:21 PM