DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO arkib NSTP
DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyifatkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-9 adalah tepat pada masanya ketika negara berhadapan krisis kesihatan dan ekonomi.

Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Ismail Sabri, mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran negara termasuk menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, sebelum ini.

Malah menurutnya, keupayaan Ismail Sabri juga terbukti ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Kanan Pertahanan (Kluster Keselamatan) yang mengendalikan isu berkaitan Covid-19 secara langsung selama hampir 17 bulan.

"GPS menjunjung kasih dan menyambut baik keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.

"Beliau berpengalaman luas dalam pentadbiran serta pernah menjawat beberapa jawatan menteri sejak 2008 lagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nanta yang pernah bertugas sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) ketika Ismail Sabri mengetuai kementerian itu berkata, beliau secara peribadi mengagumi kepimpinan Ahli Parlimen Bera itu.

"Beliau sangat dekat serta mesra dengan masyarakat di semua peringkat di bandar dan luar bandar termasuk penduduk di Sarawak.

"Beliau pernah beberapa kali mengadakan lawatan ke Sarawak termasuk di kawasan saya, Kapit pada 2010," katanya yang juga Ahli Parlimen Kapit.

Mengimbau kunjungan Ismail Sabri ke kawasan pedalaman itu 11 tahun lalu, Nanta berkata, beliau tidak kekok mendekati rakyat di Kapit.

"Beliau selesa bermalam serta membabitkan diri dalam pelbagai aktiviti di sana, termasuk program kemasyarakatan yang diadakan di Dewan Suarah, Kapit,"'katanya.

Justeru katanya, GPS berharap semua pihak termasuk pembangkang mengambil sikap berlapang dada dengan pelantikan Ismail Sabri untuk memegang jawatan nombor satu negara.

"Kita harus mengenepikan segala perbezaan ketika ini dan bersama-sama memberi tumpuan kepada isu lebih utama iaitu kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat selain pemulihan ekonomi negara akibat pandemik Covid-19.

"GPS percaya dengan kemampuan Datuk Seri Ismail Sabri dan memberi sokongan penuh kepada beliau untuk menerajui negara menuju ke arah pemulihan seterusnya keluar daripada krisis yang sedang melanda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 12:39 PM