SETIAUSAHA Agung Parti PBB Sarawak, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada sidang media, malam ini. FOTO NADIM BOKHARI
SETIAUSAHA Agung Parti PBB Sarawak, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada sidang media, malam ini. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menampil antara 10 hingga 20 peratus calon muka baharu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) akan datang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia adalah selaras dengan usaha ke arah pembaharuan parti.

Beliau berkata, calon muka baharu itu dijangka akan mengisi kekosongan bakal ditinggalkan beberapa penyandang yang sudah menyatakan hasrat untuk berundur pada pilihan raya itu nanti.

"Beberapa calon muka baharu ditampilkan sebagai usaha ke arah pembaharuan bagi meneruskan legasi kecemerlangan PBB sebagai tulang belakang pentadbiran kerajaan Gabungan Parti Sarawak.

"Bagaimanapun, senarai calon muka baharu itu belum muktamad," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB yang dipengerusikan Presiden parti, Tan Sri Abang Johari Abang Openg di Ibu Pejabat PBB, di Jalan Bako, di sini, malam ini.

Nanta berkata, bagi memastikan kredibiliti dan integriti, penyandang dan calon cadangan (muka baharu) sedang menjalani tapisan oleh Jabatan Insolvensi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata, tapisan itu perlu dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan tiada masalah kalangan calon PBB ketika proses pilihan raya nanti.

Ketika ini, PBB mempunyai 47 wakil dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak.

Beberapa penyandang sudah menyatakan secara sukarela untuk tidak mempertahankan kerusi mereka.

Nanta berkata, Abang Johari sudah menyatakan penghargaan kepada penyandang yang menyatakan hasrat untuk tidak bertanding itu.

Beliau berkata, mesyuarat MKT PBB itu turut membincangkan kerjasama dengan parti komponen GPS lain untuk membentuk pasukan ampuh dan jitu bagi menghadapi PRN-12 nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 11:29 PM