Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Mohd Roji Kawi


BEKALAN ayam di Sarawak dijamin mencukupi untuk menampung keperluan bagi sambutan Aidilfitri dan Hari Gawai pada 1 Jun.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, Datuk Stanley Tan berkata, jaminan diberikan penternak ketika lawatannya di ladang ternakan ayam di Jalan Kuching-Serian, semalam.

Menurutnya, secara purata tiga ladang ternakan ayam utama negeri itu boleh mengeluarkan 57,000 ayam sehari.

"Hasil lawatan pemeriksaan itu, kita mendapati jumlah pengeluaran ayam mampu menampung keperluan penduduk Kuching hinggalah ke Lawas, pada musim perayaan Aidilfitri dan Hari Gawai ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Stanley berkata, berdasarkan kutipan harga Bahagian Majlis Harga Negara KPDNHEP Sarawak mendapati ayam bersih standard jual antara RM6.90 hingga RM8.50 sekilogram bagi tempoh Januari hingga Mei.

"Harga itu kekal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Bagaimanapun katanya, pejabat itu bekerjasama dengan pejabat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi memastikan bekalan mencukupi dan dijual pada harga berpatutan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat wujud salah laku dan penyelewengan harga boleh melaporkannya ke talian hotline KPDNHEP di 1-800-886-800 atau portal e-aduan kpdnhep di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di talian Whatsapp 019-2794317 atau hadir sendiri di mana-mana pejabat Kementerian yang berhampiran.

"Sepanjang tempoh PKP ini, bilik gerakan KPDNHEP Sarawak dibuka mulai jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari," katanya.

Aduan bagi kawasan Kuching boleh dibuat di talian 082-466052, Sri Aman (083-323836), Sarikei (084-657751), Sibu (084-3292020, Kapit (084-799678), Bintulu (086-332176), Miri (085-412862), Limbang (085-217414), Mukah (084-872726) dan Lawas (085-283650).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 11:30 AM