Mohd Roji Kawi


HARGA barang kawalan tidak dapat diseragamkan di Sarawak berikutan faktor geografi negeri yang luas selain kesukaran logistik untuk menghantar bekalan barangan ke kawasan tertentu khususnya di kawasan luar bandar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, berikutan itu ada yang keliru apabila harga barang kawalan di Kuching berbeza dengan harga di Kapit atau Lawas.

Malah katanya, ada pihak tertentu mempolitikkan perkara itu termasuk menuduh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak menetapkan harga secara adil.

"Memang harga barangan kawalan di Sarawak tidak selaras, contohnya harga ayam standard di Kuching, Lundu, Bau, Serian, Simunjan, Samarahan, Asajaya, Sibu, Kanowit, Selangau, Miri, Marudi, Bintulu, Tatau, Sebauh, Mukah, Dalat, Matu dan Daro adalah RM8.50 sekilogram.

"Harga di Sarikei, Julau, Pakan dan Meradong pula RM9 sekilogram; di Sri Aman, Saratok, Betong dan Lubok Antu RM10 sekilogram; di Kapit, Song dan Belaga RM11 sekilogram manakala di Limbang serta Lawas pula harga ayam yang sama adalah RM11.90.

"Harga yang tidak sama walaupun dalam negeri yang sama itu terpaksa kita buat untuk sesuaikan dengan keadaan di kawasan tertentu," katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Medan Niaga Satok, Kuching, hari ini.

Mengulas lanjut, Nanta berkata, adalah tidak adil untuk menetapkan satu harga untuk semua tempat di Sarawak kerana jika ia dilakukan akan ada kawasan yang tidak menerima bekalan barangan tertentu kerana pembekal tidak mahu menanggung kerugian selepas menampung kos logistik.

"Jika kita tidak membezakan harga mengikut kesesuaian tempat, mungkin akan berlaku kenaikan harga yang tidak terkawal atau mungkin kawasan itu akan mengalami masalah ketiadaan bekalan barangan tertentu.

"Kerajaan membuat penetapan harga ini dengan cukup teliti dan pihak terbabit janganlah mempolitikkan perkara ini kerana ia sudah lama dibuat, sejak zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) malah ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah pun keadaan sama (harga barang terkawal tidak selaras)," katanya.

Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan larangan pergerakan merentas daerah ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mungkin dijadikan alasan oleh peniaga terutamanya di kawasan luar bandar untuk menaikkan sedikit harga barang terkawal.

Bagaimanapun katanya, KPDNHEP tidak akan membiarkan perkara itu berlaku dan penguat kuasa akan membuat pemantauan rapi untuk memastikan pengguna diutamakan.

"KPDNHEP akan memberi jaminan harga barangan di pasaran sentiasa berada pada paras berpatutan walaupun dalam keadaan sukar akibat pandemik Covid-19 sekarang.

"Setakat ini, sembilan saluran aduan yang disediakan KPDNHEP berhubung penyelewengan harga barang belum menerima sebarang aduan daripada orang ramai," katanya.

Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, membuat "Walkabout" ke Pasar Basah Kubah Ria di Medan Niaga Satok, sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa dan Hari Gawai 2020. FOTO NADIM BOKHARI
Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, membuat "Walkabout" ke Pasar Basah Kubah Ria di Medan Niaga Satok, sempena Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa dan Hari Gawai 2020. FOTO NADIM BOKHARI

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 2:38 PM