Stanley Tan semasa melakukan lawatan pemeriksaan bagi bekalan gula, minyak masak dan tepung di dua premis pemborong di Kuching, hari ini. FOTO  Melvin Joni
Stanley Tan semasa melakukan lawatan pemeriksaan bagi bekalan gula, minyak masak dan tepung di dua premis pemborong di Kuching, hari ini. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni


BEKALAN gula, minyak masak dan tepung bagi menampung keperluan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri serta Hari Gawai Dayak di Sarawak dijamin mencukupi.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, Datuk Stanley Tan berkata, jaminan itu diberikan dua pemborong utama gula, minyak masak dan tepung di Kuching.

"Saya dimaklumkan kedua-dua pengurus operasi pemborong berkenaan bahawa bekalan bahan itu adalah mencukupi untuk pengeluaran purata selama tiga bulan," katanya selepas mengadakan lawatan pemeriksaan ke kedua-dua pemborong berkenaan hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata purata bekalan gula bagi kedua-dua pemborong terbabit adalah sebanyak 1,805.2 metrik tan untuk edaran seluruh rakyat Sarawak khususnya di sekitar Kuching hingga ke Sibu dan Miri.

Manakala purata bekalan tepung gandum, adalah sebanyak 180.8476 metrik tan juga bagi kegunaan penduduk Sarawak.

Bagi beras pula, Stanley berkata purata bekalan untuk edaran keperluan penduduk Sarawak adalah sebanyak 2068.148 metrik tan.

"KPDNHEP Sarawak akan terus mempertingkatkan pemeriksaan di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi ketika musim perayaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 6:35 PM