PENGUATKUASA KPDNHEP memeriksa alat penimbang yang digunakan peniaga di Batu Kawa, Kuching, semalam. FOTO ihsan KPDNHEP
PENGUATKUASA KPDNHEP memeriksa alat penimbang yang digunakan peniaga di Batu Kawa, Kuching, semalam. FOTO ihsan KPDNHEP
Mohd Roji Kawi


TIDAK sedar alat penimbang sudah tamat tempoh sah dijadikan alasan tiga peniaga di Pasar Batu Kawa, Kuching ketika diperiksa penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak, semalam.

Bagaimanapun alasan itu tidak diterima kerana setiap peniaga wajib mengetahui peraturan mengikut Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.

Berikutan itu, mereka dikompaun RM100 setiap seorang kerana sengaja menggunakan alat timbang dan sukat yang tamat tempoh sah

Jurucakap KPDNHEP Sarawak, berkata pemeriksaan mengejut dilakukan di pasar basah itu selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam.

Katanya, penggunaan penimbang yang tamat tempoh menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 14(6) ATS 1972.

PENGUATKUASA KPDNHEP memeriksa alat penimbang yang digunakan peniaga di Batu Kawa, Kuching, semalam. FOTO ihsan KPDNHEP
PENGUATKUASA KPDNHEP memeriksa alat penimbang yang digunakan peniaga di Batu Kawa, Kuching, semalam. FOTO ihsan KPDNHEP

"Sepanjang tahun ini, KPDNHEP Sarawak mengambil 205 kes mengikut ATS 1972 dengan nilai kompaun sebanyak RM28,700 manakala nilai rampasan adalah sebanyak RM51,106," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta bantuan orang ramai yang mengetahui perbuatan curang peniaga supaya menyalurkan maklumat melalui talian hotline kementerian di 1-800-886-800 atau Portal e-aduan KPDNHEP di http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau di talian Whatsapp 019-2794317 atau hadir sendiri di mana-mana pejabat Kementerian yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, Bilik Gerakan KPDNHEP Sarawak dibuka dari jam 8 pagi sehingga 5.30 petang setiap hari dan boleh dihubungi di talian 082-466052.

"KPDNHEP Sarawak juga menyeru kepada semua peniaga supaya memastikan alat timbang dan alat sukatan ditentusahkan untuk tujuan perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 2:21 PM